Ahli perniagaan rugi rakan kongsi rosakkan barang
KUALA TERENGGANU - Seorang ahli perniagaan terpaksa menanggung kerugian selepas dua rakan kongsi mengamuk dengan merosakkan barang-barang di dalam kedai miliknya, di Jalan Sultan Ismail, di sini, pada Sabtu lalu.
Menurut sumber, kejadian hanya diketahui wanita berusia 65 tahun itu selepas menerima panggilan daripada salah seorang pekerjanya memaklumkan ada dua individu sedang mengamuk di dalam kedai, kira-kira jam 8.51 pagi.
"Pekerjanya memaklumkan didatangi dua individu disangkakan pasangan suami isteri yang ingin melihat barang-barang di dalam kedai.
"Bagaimanapun secara tiba-tiba, suspek wanita, 43, mengamuk di dalam kedai dengan memecahkan barang-barang niaganya termasuk peralatan pejabat sambil diperhatikan suspek lelaki, 49.
"Tidak cukup dengan itu, kedua-dua suspek dikatakan menghalau semua pekerja mangsa sebelum bertindak mengunci kedai dan melarang mereka masuk ke dalam kedai lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata sumber, mangsa bergegas ke kedai sebelum mendapati dua individu yang dimaklumkan pekerjanya merupakan rakan kongsi niaganya.
"Mangsa tidak menyangka rakan kongsinya sanggup bertindak sedemikian hanya kerana berlaku sedikit perselisihan faham di antara mereka sebelum ini.
"Tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, mangsa nekad membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!