Amalkan petua ini jika ingin kekalkan berat badan di hari raya
HARI lebaran akan tiba tidak lama lagi. Pasti kaum wanita yang sedang 'diet' cukup risau apabila diuji dengan makanan yang pasti enak-enak belaka.
Bukan sahaja sedap dan menyelerakan tetapi mempunyai kalori yang tinggi seperti rendang, lemang dan sebagainya.
Jadi, apakah langkah yang perlu dilakukan supaya anda tidak berlebihan menjamah hidangan hingga membolehkan berat badan anda bertambah? Jom ikuti langkah berikut.
1) Buat target yang realistik
Jangan sesekali menolak hidangan di rumah tetamu, sebaliknya kawal saiz hidangan. Jangan makan hingga anda terlalu kenyang.
Contohnya, hadkan makan ketupat berlebihan atau mengurangkan kuah kacang.
2) Berhenti makan apabila sudah kenyang
Apabila perut rasa kenyang, jangan terus mengunyah tidak kira sama ada biskut mahupun kerepek dan sebagainya. Ia mampu meningkatkan kalori anda.
3) Jangan lapar mata
Aneka juadah di rumah tetamu pasti menyelerakan hingga membuatkan anda mahu menjamah kesemuanya. Kuatkan iman ya, sebaliknya anda ambil masa berbual dan bertanya khabar di tempat yang agak jauh daripada tempat simpanan juadah.
4) Penuhkan makanan dengan sayur
Ketika mengambil makanan, penuhkan dahulu pinggan anda dengan sayur-sayuran. Ia boleh membantu anda cepat kenyang dengan kandungan seratnya yang tinggi. Cepat kenyang tentu akan mencegah anda makan berlebihan.
5) Elak makan bahagian daging yang berlemak
Biasanya menu yang dihidangkan pada hari raya seperti rendang kebanyakannya berasaskan daging sama ada lembu, kambing, dan ayam. Ingat daging terutamanya yang merah mengandungi lemak tepu yang tinggi. Jadi, kurangkan pengambilannya. Begitu juga dengan ayam, ambil bahagian dada yang ternyata tinggi serat.
6) Elak minuman mengandungi gula
Minuman berwarna-warni seperti sirap kerap dihidangkan kepada tetamu. Jangan minum terlalu banyak kerana ia mengandungi gula yang cukup tinggi.
Begitu juga dengan air bikarbonat seperti coke atau pepsi yang mengandungi pemanis yang tinggi. Jadi elakkan ya!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!