Kes bunuh CEO Craddle Fund: Samirah dapat raikan Syawal bersama keluarga
PUTRAJAYA - Balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Berhad (Cradle Fund) Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar yang berdepan tuduhan membunuh suaminya dibebaskan dengan jaminan RM500,000 oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya di sini pagi ini.
Samirah, 44, dijamin oleh dua ahli keluarganya dilihat meninggalkan mahkamah kira-kira jam 12.40 tengah hari menaiki MPV Volkswagen hitam.
Terdahulu dua ahli keluarganya dilihat membuat urusan bayaran jaminan dan dokumentasi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan kira-kira jam 11.40 pagi.
Semalam, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Samirah untuk diberi dijamin sementara menunggu perbicaraan kes bunuh yang dihadapinya.
Dalam keputusan itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed yang mempengerusikan panel lima hakim turut mengenakan lima syarat ke atas Samirah, termasuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri ke balai polis setiap dua minggu.
Selain itu, Samirah yang juga bekas eksekutif kanan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut diberi syarat supaya berada di dalam rumah dari 6 petang hingga 8 pagi selain dilarang berada di tempat awam dan menghadiri majlis umum kecuali perkara berkaitan keluarga dan keagamaan.
Samirah juga dilarang meninggalkan Kuala Lumpur atau Petaling Jaya tanpa kebenaran mahkamah.
Dalam keputusan itu, Azahar berkata Mahkamah Tinggi gagal mengambil kira wanita yang menghadapi tuduhan membunuh yang sedang menunggu perbicaraan dibenar untuk dibebaskan dengan ikat jamin.
"Terdapat keadaan yang memihak kepada Samirah yang tidak dipertimbangkan sewajarnya oleh Mahkamah Tinggi, antaranya dia mempunyai dua anak di bawah umur lima tahun yang memerlukan penjagaannya.
"Samirah turut memberi kerjasama penuh semasa siasatan polis, ini juga tidak diberi pertimbangan sewajarnya oleh Mahkamah Tinggi," katanya.
Pada 4 Mac lalu Samirah, bersama dua remaja masing-masing berumur 14 dan 17 tahun serta seorang warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun, 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Pada 27 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan jaminan masing-masing RM50,000 berserta dua penjamin kepada dua remaja lelaki itu.
Hakim Azahar berkata Hakim Mahkamah Tinggi juga gagal untuk melaksanakan budi bicaranya dengan bijak apabila beliau menolak permohonan jaminan Samirah.
Hakim lain yang turut bersidang dalam panel berkenaan ialah Tan Sri Ramly Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.
Samirah memfailkan permohonan bagi jaminan itu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menolak permohonan jaminannya. Perbicaraan kes bunuh yang dihadapinya ditetapkan pada 3 Septemper ini.
Selepas mahkamah menyampaikan keputusan itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Samirah, memberitahu pemberita anak guamnya akan menjelaskan jaminan esok oleh sebab keluarganya perlu mengumpul wang untuk jaminan itu.
Beliau berkata Perintah Untuk Mengemukakan Tahanan telah dikeluarkan untuk Samirah hadir di mahkamah pada 9 pagi esok.
Muhammad Shafee berkata kes Samirah adalah keputusan bersejarah berhubung jaminan daripada mahkamah tertinggi dalam bidang kuasa komanwel.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin dan Jasmee Hameeza Jaafar mewakili pendakwaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!