Pengguna LDP, Kesas nikmati diskaun tol
SUBANG JAYA - Sempena sambutan Aidilfitri, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas) akan memberikan diskaun tol kepada pengguna lebuh raya.
Bagi pengguna Litrak, diskaun sebanyak 30 peratus diberikan manakala pengguna kenderaan kelas 1 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Kesas akan menikmati diskaun sebanyak 10 peratus.
Semua diskaun ini akan bermula 12 tengah malam sehingga 11.59 malam Hari Raya pertama pada 5 Jun ini.
Inisiatif pemberian diskaun tol ini telah dimulakan sejak 2010, dengan harapan langkah ini akan memberikan manfaat kepada pengguna lebuh raya.
Ketua Pegawai Eksekutif Litrak, Sazally Said berkata, hampir 516,000 pengguna LDP dan Kesas akan menerima manfaat daripada RM256,000 subsidi tol yang diberikan.
"Sejak 2010 hingga 2018, Litrak memberikan hampir RM14.3 juta subsidi tol kepada jutaan pengguna lebuh raya ketika musim perayaan.
"Kami faham keperluan untuk menziarahi saudara serta sahabat handai dan menerusi langkah ini kita dapat menyambut dan menyemarakkan Syawal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Jalinan Mesra dan Iftar Ramadan Litrak dan Sprint bersama Pusat Jagaan Kasih Nur Muhammad, Kota Damansara di Kompleks Operasi Litrak semalam.
Dalam pada itu, Litrak turut melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya khusus untuk penunggang motosikal.
"Ia diadakan secara langsung untuk menjadikan lebuh raya dan jalan raya lebih selamat sekali gus mencegah kemalangan melibatkan penunggang motosikal.
"Seramai 30 pelajar Giat Mara Puchong melafazkan ikrar dan janji untuk lebih cermat ketika menunggang motosikal dan mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.
Pada masa sama, seramai 50 orang kanak-kanak kurang bernasib baik diraikan dan diberikan sumbangan duit raya, barangan cenderahati serta turut dibawa membeli belah barangan keperluan Aidilfitri di Aeon Shah Alam.
Litrak menyemarakkan lagi semangat Ramadan dan Syawal dengan memberi sumbangan Pek Dapur Syawal kepada 30 keluarga penerima daripada Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sekitar jajaran LPT.
Turut hadir pada majlis adalah Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Sr Aziz Abdullah.
[LANGSUNG] Sidang Media Pengumuman Diskaun Tol Aidilfitri 2019 di Kompleks Operasi Litrak.
Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Tuesday, May 28, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!