Kelantan akan tambah beca bermotor
KOTA BHARU – Kerajaan negeri akan menambah lima lagi beca bermotor di Kelantan tahun ini bagi membantu meringankan beban pemandu beca sekali gus menyokong industri pelancongan negeri.
Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Mejar Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, penambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan beca bermotor adalah 15 buah termasuk 10 buah yang telah diubahsuai sejak setahun lalu.
“Pengubahsuaian tersebut melibatkan kos sebanyak RM5,000 untuk sebuah. Kita juga akan membeli dua buah beca baharu yang setiap satunya berharga RM10,000 bagi merancakkan lagi penggunaan beca di negeri ini.
“Tambahan pula, beca baru tersebut juga boleh dijadikan pencetus untuk anak-anak muda menjadikan kerjaya sebagai pengayuh beca sebagai sumber rezeki selepas ini.
“Saya suka melihat anak-anak muda di Melaka yang menjadikan pengayuh beca sebagai sumber pendapatan sampingan dan sebagainya.
“Kita juga boleh buat seperti mereka dan saya yakin ia akan menarik minat ramai anak muda negeri ini, tambahan pula beca yang digunakan sangat moden dan memenuhi cita rasa orang muda,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau hadir Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Kerajaan Negeri Kelantan Kepada Penarik Beca di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) negeri, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Perbadanan Muzium Kelantan, Arifin Hussin dan Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan) TIC negeri, Nik Mahmud Nik Jaffar.
Menurutnya, selepas pengubahsuaian dilakukan, pendapatan pengayuh beca juga bertambah dari biasa iaitu minimum RM800 dan hampir RM1,200 sebulan.
Beliau berkata, idea pengubahsuaian tersebut juga banyak membantu pengayuh beca ini untuk lebih cepat, menjimatkan tenaga dan meringankan bebanan mereka semasa memandu.
Mengulas lanjut, Anizam berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan pengayuh beca di negeri ini dan untuk musim perayaan kali ini, seramai 27 penarik beca yang aktif menerima sumbangan RM600 dan barangan keperluan yang berharga RM200 untuk persiapan hari raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!