Cadangan jawatan tetap guru KAFA dibentang ke Kabinet
KUALA LUMPUR - Cadangan lantikan guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke dalam skim perjawatan tetap dijangka akan dibentangkan ke Kabinet sebelum akhir Julai ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.
“Semalam saya telah meneliti perkembangan kertas Kabinet tersebut dan saya ada beri lagi input selain perlu mengemaskini beberapa perkara... harap ia dapat dibentangkan sebelum hujung Julai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Waqaf Al-Quds di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.
Fuziah berharap perkara ini dapat diselesaikan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.
Dianggarkan terdapat 31,460 orang guru KAFA bertaraf kontrak berkhidmat di 5,609 premis KAFA seluruh negara ketika ini.
Mengenai Program Waqaf Al-Quds yang bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat Palestin sekaligus mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa, Fuziah berkata tabung waqaf akan diwujudkan di 100 masjid sekitar Wilayah Persekutuan dengan sasaran kutipan kira-kira RM6,000 bagi setiap masjid.
“Hasil kutipan sumbangan tersebut akan digunakan untuk tujuan sosial, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!