10 minit berpantang ajal
SABAK BERNAM - Empat sekeluarga nyaris maut apabila sebuah kereta jenis Daihatsu Charade merempuh garaj kereta rumah mereka di PPRT Jalan Haji Atan, Kampung Sekendi, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, keempat-empat mereka baharu sahaja masuk ke dalam rumah selepas memotong kulit lembu di garaj berkenaan.
Menurut Saliza Mohammad, 32, ketika kejadian, dia bersama seorang ahli keluarganya dan dua rakan dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di luar rumah.
"Kami segera keluar dari rumah dan melihat kereta terbabit dah tersadai depan tiang elektrik, manakala dua tiang garaj runtuh selain lebih 30 pasu bunga pecah bertaburan," katanya.
Saliza berkata, pemandu kereta terbabit yang juga seorang remaja dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya untuk bersahur.
"Kami bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tak diingini berlaku apatah lagi baru 10 minit sahaja masuk ke dalam rumah selepas memotong kulit lembu di garaj ini," katanya.
Katanya, menjadi rutinnya setiap pagi memotong kulit lembu di garaj terbabit.
"Ini kejadian kali pertama berlaku kereta rempuh garaj sepanjang 11 tahun kami menetap di kampung ini," katanya.
Justeru, katanya, pihaknya berharap pihak berwajib membina bonggol bagi mengelakkan kenderaan memandu laju di jalan terbabit.
"Keadaan ini menyebabkan penduduk bimbang terhadap tahap keselamatan selain mengundang bahaya kepada kanak-kanak yang bermain di hadapan rumah.
"Selain itu, kita juga berharap lebih banyak lampu dipasang di sepanjang jalan ini yang gelap pada waktu malam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!