Polis tahan Warga emas disyaki bakar warung roda tiga

Keadaan gerai roda tiga yang hangus terbakar akibat perbuatan khianat.
Keadaan gerai roda tiga yang hangus terbakar akibat perbuatan khianat.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengusaha warung kerugian hampir RM10,000 selepas gerainya dibakar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian di kawasan Bagan Ajam di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 30 tahun selepas warung roda tiga gerainya terbakar disyaki dilakukan akibat perbuatan khianat oleh suspek yang tidak dikenali.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berhampiran dengan warung pengadu mendapati terdapat kelibat seorang lelaki telah membakar warung miliknya.

"Akibat kejadian itu, keseluruhan warung milik mangsa hangus terbakar dan tiada sebarang peralatan berniaga dapat diselamatkan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dan premis lain yang terlibat dalam insiden kebakaran ini.

"Ketika berada di tempat kejadian, mangsa melihat seorang lelaki yang menyerupai suspek telah lalu di hadapan kedai berhampiran dan mangsa terus kejar dan tahan suspek, kemudian menghubungi pihak polis dan menyerahkan suspek untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, suspek yang berusia 67 tahun kini ditahan reman untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Polis juga akan mengambil rakaman CCTV insiden ini di sekitar lokasi kejadian dan akan dihantar ke makmal forensik untuk tujuan analisa.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mungkin melihat kejadian berkenaan agar tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!