Petronas perluas sumbangan ke 13 negeri
DUNGUN - Petronas memperluaskan pemberian sumbangan untuk menyambut lebaran ke 13 buah negeri di negara ini pada tahun ini berbanding hanya enam buah negeri pada tahun lalu dengan peruntukan berjumlah RM815,000.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, peruntukan itu disalurkan kepada seramai 2,800 buah keluarga kurang bernasib baik menerusi Program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas 2019.
Menurutnya, di bawah program tersebut, Petronas melalui Yayasan Petronas mengagihkan sumbangan sempena perayaan-perayaan utama di negara ini bermula sepanjang bulan Ramadan diikuti sambutan Kaamatan, Gawai dan juga Aidilfitri.
"Program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas kali ini berbeza berbanding tahun sebelum ini kerana pada tahun ini lebih banyak negeri diberi sumbangan, iaitu mencatatkan pertambahan tujuh buah negeri lagi.
"Program musim perayaan Sentuhan Kasih Yayasan Petronas ini merupakan sebahagian daripada fokus Yayasan Petronas kepada aspek kesejahteraan komuniti dan pembangunan. Sumbangan dihulur dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan harian dan kelengkapan rumah dan hamper," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sentuhan Kasih Ramadan Yayasan Petronas 2019 di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Tebing Tembah, Paka, di sini, semalam.
Program itu dirasmikan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan turut dihadiri Naib Presiden Pengeluaran, Pembangunan dan Aset Malaysia Petronas, Mohd Jukris Abd Wahab.
Pada program itu seramai 200 golongan asnaf dari DUN Paka dan DUN Kemasik menerima sumbangan bernilai RM300 seorang berupa voucher RM200 untuk membeli barangan persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri di pasar raya terpilih dan RM100 wang tunai sebagai duit raya.
Terdahulu, Petronas melalui anak syarikatnya, Petronas Dagangan Berhad menyediakan juadah bubur lambuk dan diagihkan kepada pelanggan Stesen Minyak Petronas terpilih di sekitar Paka dan Kerteh.
Mengulas lanjut, Wan Mohd Hasnan berkata, program itu bertujuan meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan menyambut Ramadan di samping membantu membangkitkan keceriaan mereka membuat persiapan menyambut Syawal.
"Penyampaian sumbangan hari ini juga adalah kesinambungan daripada Program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas yang diadakan di Kuala Terengganu baru-baru ini.
"Pada program tersebut Petronas menyampaikan sumbangan kepada 130 penerima sekitar DUN Ladang dan Batu Rakit. Pemberian sumbangan di bawah Program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas ini dijalankan bermula 8 Mei lalu dan akan berakhir 15 Jun depan," katanya.
Sementara itu, penerima sumbangan dari Paka, Siti Mariam Mat Noor, 50, yang juga ibu tunggal tiga anak berkata, sumbangan yang diterima itu meringankan bebannya untuk membeli pakaian raya kepada anak bongsunya berusia 15 tahun yang masih bersekolah.
"Tak pernah makcik dapat sumbangan sambut raya macam ni, jadi memang rasa bersyukur sangat lebih-lebih lagi baju raya anak belum beli dan makcik pun nak beli sepasang baju kurung kepada makcik.
"Sumbangan ini sangat gembirakan makcik sekeluarga kerana makcik tak kerja dan cuma harapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan," katanya.
Pekerja kebun sayur, Abdul Rahman Ahmad, 58, juga dari Paka berkata, dengan upah yang diterima RM20 sehari, dia tidak mampu membeli kelengkapan raya kepada empat anaknya yang berusia 16 hingga 26 tahun.
"Ringan beban pakcik bila Petronas bagi sumbangan ini sebab baucar dan duit boleh beli baju raya yang anak berkenan. Gaji pakcik cuma cukup-cukup makan saja dan memang tak cukup kalau nak buat beli semua kelengkapan raya anak-anak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!