PRK Cameron Highlands: PH ada kelebihan
KUANTAN - Kekalutan yang berlaku dalam BN dan Umno kebelakangan ini akan memberikan kelebihan kepada PH pada PRK Cameron Highlands.
Timbalan Pengerusi DAP negeri, M Manogaran berkata, isu perpecahan dalam BN dan Umno termasuk tindakan pemimpin mereka keluar parti dan menyokong kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dijangka akan menyebelahi calon PH bagi merampas kembali kerusi tersebut daripada BN.
Menurutnya, selain itu, sebagai kerajaan hari ini, PH sudah tentu dapat membantu usaha menjayakan segala program dan rancangan pembangunan yang dirancang selain menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di kawasan itu.
“Faktor itu mungkin membantu tetapi sandaran lebih utama adalah rekod dalam kerja-kerja kita untuk rakyat di sana selama ini.
“Kita sudah lama turun padang melihat dan membantu menyelesaikan isu dihadapi penduduk khususnya di kawasan luar bandar termasuk di perkampungan Orang Asli,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu Manogaran yang juga bekas calon DAP untuk kerusi itu pada PRU14 lalu berkata, beliau juga akan turut membantu menyelesaikan masalah di kawasan Tanah Rata membabitkan isu tanah, tanah tol, implikasi Ops Gading dan masalah kesesakan trafik di Brinchang serta Kia Farm.
Mengulas tentang bakal calon yang diletakkan di kerusi tersebut, Manogaran berkata, selepas keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan PRU14 untuk kerusi tersebut, pimpinan DAP meminta beliau membuat persediaan.
“Ia mungkin satu petunjuk dari pimpinan DAP mungkin akan memberi peluang kepada saya untuk bertanding sekali lagi pada PRK ini.
“Bagaimanapun segala terserah kepada kepimpinan untuk membuat keputusan dan pengumuman siapa calonnya nanti,” katanya.
Beliau berkata, jika dipilih beliau sudah bersedia dan berharap pilihan raya kecil itu berjalan secara telus tidak ada unsur rasuah.
“Pada saya, jika dicalonkan, ia merupakan kesinambungan perjalanan politik saya untuk terus membantu dan membela nasib rakyat di cameron Highlands,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!