Bukan Melayu tak perlu 'gerun' penyatuan UMNO-Pas
PASIR MAS - Masyarakat bukan Islam tidak perlu ‘gerun’ dengan penyatuan politik antara UMNO dan Pas yang bakal dimeterai menerusi satu piagam selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Ketua Puteri UMNO Pasir Mas, Umi Habibah Mohd Shaari berkata, penyatuan itu bukan bersifat ‘Melayu-Melayu’ namun ia lebih kepada penyatuan ummah yang menjadi teras kepada kedua-dua parti itu.
“Bagi saya, masyarakat bukan Islam tidak perlu khuatir kerana kita tetap menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras pembinaan negara sejak merdeka lagi.
“Malah, saya yakin dan percaya hubungan erat yang terjalin antara kaum akan terus diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengulas Piagam UMNO-Pas yang bakal dimeterai selepas Aidilfitri nanti.
Terdahulu, beliau menyantuni golongan anak-anak yatim di Rumah Kebajikan Anak Yatim & Dhuafa' Baitu Ruhana di sini hari ini.
Seramai 27 anak yatim menerima sumbangan makanan dan duit raya.
Menurutnya, piagam tersebut juga bakal membuka lembaran baharu dalam arena politik negara pada masa hadapan.
Katanya, gabungan dua parti terbesar Melayu itu dilihat mampu memberi ‘ancaman’ kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 nanti.
“Sudah mula nampak tanda-tanda ‘goyang’ dalam PH apabila mereka tidak senang duduk dengan gabungan ini.
“Ia jelas memberi ‘signal’ kepada PH bahawa mereka bakal berdepan tentangan sengit nanti,” katanya.
Umi berkata, sejurus sahaja piagam tersebut dimeterai pihaknya berharap kedua-dua parti lebih 'agresif' untuk menawan semula hati rakyat.
Katanya, gerak kerja menawan hati rakyat perlu bermula dari sekarang bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap gabungan UMNO-Pas bertambah kukuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!