PTPTN terima RM558.9j bayaran balik pinjaman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman yang diperoleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari Januari hingga Mac tahun ini adalah sebanyak RM558.9 juta.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Perhubungan Awam dan Pengurusan Majlis PTPTN, Abdul Ghaffar Yusof berkata jumlah bayaran balik sepatutnya diterima adalah RM300 juta sebulan, namun jumlah purata diperoleh dalam lingkungan RM150 juta sehingga RM180 juta.

"Status pembayaran setakat ini masih di bawah tahap sebenar, sepatutnya tahun lepas, jumlah kutipan adalah RM4 bilion setahun kerana kita perlu beri pinjaman kepada pelajar baharu dan sedia ada.

"Peminjam yang membuat pemotongan gaji tiada masalah tetapi masih ada peminjam belum membuat pembayaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Bebas Hutang PTPTN 2018/2019 di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Ghaffar berkata sehingga April, jumlah yang tertunggak ialah sebanyak RM6.5 bilion yang melibatkan 350,000 peminjam dan ini menimbulkan masalah kekurangan dana saban tahun.

Beliau berkata sehingga April PTPTN telah meluluskan kepada lebih tiga juta peminjam dengan jumlah pinjaman RM56 bilion.

"Jumlah ini meningkat saban tahun dan PTPTN memerlukan jumlah dana yang besar yang mencecah RM4 bilion setahun bagi menentukan ia dapat terus memberi pinjaman kepada pelajar pada masa depan.

"Bagaimanapun, jumlah pembayaran balik cuma mencecah 58 peratus daripada jumlah pinjaman yang sepatutnya telah dikutip,” tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu pada majlis yang sama, bekas pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Looi Pek Chuan (she) memenangi Pertandingan Bebas Hutang PTPTN anjuran YouthsToday.com, dengan hadiah berupa penyelesaian pinjaman daripada agensi berkenaan berjumlah RM33,709.19.

Looi berasal dari Pulau Pangkor, Perak, telah membuat 10,974 transaksi melalui aplikasi GoPay untuk pertandingan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Youthstoday.com, Jazz Tan berkata pertandingan itu terbuka kepada peminjam PTPTN yang membuat transaksi tertinggi dari segi pembayaran pelbagai bil, pascabayar dan bayaran utiliti bulanan menerusi aplikasi GoPay. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!