Kemalangan kereta, pensyarah IKM terselamat
MELAKA - Seorang pensyarah Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin terselamat, selepas kereta yang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan dedak di Jalan Chin Chin Jasin, di sini, pagi tadi.
Ketika kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa, Hamdan Aouyub, 46, sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Baru Tangkak menuju ke tempat kerjanya di IKM Jasin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa mengalami kecederaan pada kaki kanan telah dibawa untuk menerima rawatan di Hospital Jasin.
"Sebaik sampai di tempat kejadian mangsa telah gagal mengawal kereta Proton Wira Aeroback yang dipandunya lalu masuk ke laluan bertentangan dan bergesel dengan lori berkenaan.
"Lori terbabit membawa muatan dedak dan dalam perjalanan dari Jasin menuju ke Kebun Baru di Sagil," kata Arshad ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pemandu lori berkenaan, seorang lelaki berusia 41 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah Peraturan 10 Kaedah Lalu Lintas Jalan (LN 166/59).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!