Salah guna masjid, ini peringatan MB Perak
IPOH - Semua parti politik diingatkan untuk mematuhi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar tidak menjadikan masjid atau surau sebagai lokasi penganjuran program kepartian.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penganjuran program seumpama itu diharapkan tidak akan berulang pada masa akan datang.
"Perkara tersebut (program) tidak sesuai diadakan setelah menerima titah daripada Tuanku Sultan. Kita telah menyatakan komitmen sepenuhnya menjunjung titah berkenaan. Jadi saya harap perkara ini tidak berlaku lagi.
"Kalau mana-mana wakil rakyat tidak kira parti mana pun, kita galakkan mereka beri bantuan di masjid atau surau tetapi tidak boleh gunakan logo parti dan berucap mewakili ahli politik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pembungkusan dan Penyerahan Juadah Raya Aidilfitri kepada pasukan beruniform 2019 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas program berbuka puasa yang dihadiri Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming di Masjid Asaadah, Kampung Bahagia Hilir Perak pada 17 Mei lalu.
Menurutnya, pihaknya mematuhi tindakan yang akan diambil oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berikutan program itu dijalankan tanpa mendapat persetujuan dan kebenaran jawatankuasa masjid berkenaan.
"Saya dapati satu tindakan telah dibuat oleh JAIPk dan kita patuhi tindakan yang diambil nanti," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Salah guna masjid: Lagi jawatankuasa masjid kena gantung
Sementara itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung penganjuran program di masjid berkenaan.
"Program tersebut walaupun tidak dipersetujui oleh pengerusi dan majoriti ahli jawatankuasa (AJK) masjid, ia masih diusahakan oleh penolong setiausaha masjid. Sebagai membantah, pengerusi dan AJK telah memulaukan program dengan tidak menghadiri acara itu.
"Menjunjung titah Tuanku dan selaras dengan Peraturan 10(2) Peraturan-Peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015, JAIPk akan melakukan siasatan dan penolong setiausaha itu akan digantung jawatannya sehingga siasatan selesai," katanya dalam satu kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!