Lebuhraya WCE dijangka dibuka sebelum Aidilfitri
SUBANG JAYA - Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dijangka akan dibuka pada sebelum Aidilfitri ini melibatkan laluan sepanjang 19 kilometer melibatkan Hutan Melintang ke Teluk Intan.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Sr Aziz Abdullah berkata satu lawatan akan diadakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya dan pengumuman rasmi akan dilakukan selepas ini.
"Insya-ALLAH satu lawatan dan pengumuman rasmi akan disampaikan oleh Timbalan Menteri pada Jumaat ini, apa-apa pun Insya-ALLAH dijangka sebelum Aidilfitri laluan tersebut akan dibuka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas Majlis Jalinan Mesra dan Iftar Ramadan Litrak dan Sprint bersama Pusat Jagaan Kasih Nur Muhammad, Kota Damansara di Kompleks Operasi Litrak di sini.
Dalam masa sama beliau menegaskan mengenai pentingnya pemanduan berhemah ketika di lebuh raya.
"Pandulah dengan berhati-hati, jangan terlalu turutkan perasaan, bawa kenderaan dan fikirkan insan dan individu yang kita bawa.
"Dan masa sama bawa kenderaan dengan penuh berhemah, patuhilah undang-undang yang ditetapkan," katanya.
Jajaran Lebuhraya WCE merentasi Selangor dan Perak sepanjang 233km dengan di Selangor bermula dari Jalan Banting - KLIA (B18) hingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8km manakala di Perak bermula dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2km.
Bagi jajaran Lebuhraya WCE di Perak mempunyai empat Seksyen iaitu Seksyen 8 (persimpangan Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (persimpangan Lekir-Changkat Cermin), Seksyen 10 (persimpangan Changkat Cermin-Beruas) dan Seksyen 11 (persimpangan Beruas-Taiping Selatan).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!