Depoh simpanan minyak terbakar

Kebakaran membabitkan kontena berisi minyak hitam terpakai di Gurun.
Kebakaran membabitkan kontena berisi minyak hitam terpakai di Gurun.
A
A
A

GURUN - Sebuah depoh simpanan minyak terbakar membabitkan kontena berisi 41,000 liter minyak hitam terpakai dalam kejadian di Gurun, 1.14 petang tadi.

Ketua Zon Sungai Petani, Penguasa Kanan Bomba II Marzukhi Shafie berkata, turut terbakar sebuah lori kosong yang diletakkan bersebelahan kontena terbabit.

Menurutnya, pihak bomba terpaksa menggunakan semburan buih untuk mengawal kebakaran dari merebak ke tempat lain.

"Dalam operasi berkenaan, kami turut mengawal pengaliran minyak untuk elak api dari terus marak," katanya.

Kelihatan buih bercampur minyak yang mengalir ke kawasan berkenaan.
Kelihatan buih bercampur minyak yang mengalir ke kawasan berkenaan.

Antara anggota yang terlibat termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan BBP Guar Chempedak membabitkan kekuatan anggota seramai 20 orang.

"Kami menerima panggilan pada jam 1.14 petang dan keluar pada 1.15 petang, jentera sampai di lokasi pada 1.20 petang.

"Api dapat dikawal pada jam 3.12 petang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati, operasi memadam kebakaran masih berjalan pada jam 3.30 petang tadi.

Turut terlibat dalam operasi termasuk pasukan bomba sukarela dari Gurun, Padang Lembu, Guar Chempedak, Semeling, Bakar Arang dan Kota Sarang Semut.

Semburan buih yang digunakan untuk memadam kebakaran.
Semburan buih yang digunakan untuk memadam kebakaran.

"Kita akan teruskan operasi memadam kebakaran sehingga minyak habis dan tak mengeluarkan api lagi," katanya.

Sementara itu, beberapa pekerja di premis bersebelahan berkata, semasa mereka sedang bekerja, terdengar letupan kecil disusuli api marak dari kontena berkenaan.

Mereka berkata, semua kerja yang sedang dijalankan di premis berkenaan tergendala setelah kebakaran berlaku apabila pekerja diminta beredar ke tempat selamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!