Pafa bawa anak yatim beli baju raya
IPOH - Seperti tahun-tahun sebelumnya, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) melaksanakan program membeli barangan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak yatim di gedung membeli belah terkemuka, Mydin.
Kali ini, seramai 22 penghuni Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman Kampung Manjoi Ipoh, terpilih untuk program berkenaan.
Mengulas lanjut, pemain pertahanan Perak Nazirul Naim Che Hashim berkata, ini adalah program kedua yang disertainya setelah program seumpamanya dianjurkan pada 2016 lalu.
Menurutnya, program berkenaan adalah satu program yang baik dan memberikan peluang kepada anak-anak yatim ini untuk bertemu dengan pemain-pemain bola sepak Perak.
"Untuk tahun ini, saya sertai kali kedua. Sebelum ini pada 2016.
"Hari ini saya tolong anak yatim cari persiapan raya, tak susah cari kerana semua ada di Mydin," katanya di sini hari ini.
Nazirul Naim berkata demikian sempena Program pemain Liga Super Perak bersama anak yatim di Mydin, Meru.
Sementara itu pemain import, Ronaldo Henrique Silva teruja kerana ini adalah kali pertama dia menyertai program sedemikian.
Malah katanya, banyak perkataan baharu yang dipelajarinya daripada program berkenaan seperti baju Melayu, samping, songkok dan lain-lain.
"Saya rasa bagus dapat bantu anak-anak yatim ini membeli baju raya, walaupun saya tak tahu langsung nama pakaian yang saya beli.
"Ketika beraksi di Jepun sebelum ini, saya hanya berkunjung ke sekolah-sekolah untuk bertemu dengan pelajar di sana dan bukannya program seperti ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!