Perak pinjamkan Syazwan Zaipol, Nazirul Afif ke PKNP FC
"KITA akan 'pinjam'kan mereka sehingga penghujung musim ini," demikian reaksi ketua jurulatih Perak berhubung isu dua pemain skuad Liga Super Perak, Muhammad Syazwan Zaipol Bahari dan Nazirul Afif Ibrahim yang bakal dipinjamkan kepada PKNP FC.
Menurut Durakovic, pemergian kedua-dua pemain berkenaan diharap dapat membantu PKNP FC bagi mengharungi baki saingan liga musim ini.
Malah katanya, pihak pengurusan pasukan akan sentiasa membantu sedaya yang mampu dalam usaha memastikan PKNP FC terus kekal bersaing dalam Liga Super.
"Selagi mampu, kita akan bantu dan kali ini kita 'pinjam'kan mereka dua pemain muda yang bagus dan diharapkan dapat membantu memperkuatkan pasukan.
"Bagaimanapun, kedua-dua pemain ini akan kembali bersama kita untuk sesi pra-musim, musim depan," katanya di sini hari ini.
Durakovic berkata demikian sempena Program pemain Liga Super Perak bersama anak yatim di Mydin, Meru.
Difahamkan, seramai 22 penghuni Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman Kampung Manjoi Ipoh, diraikan sempena program berkenaan.
Sementara itu, Durakovic berkata, skuad The Bos Gaurus itu akan diberikan pelepasan sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
Bagaimanapun, Durakovic tidak mendedahkan mengenai tempoh pelepasan berkenaan.
"Kita akan berikan pelepasan untuk Hari Raya Aidilfitri, tetapi kita akan teruskan dengan sesi latihan pasukan selepas itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!