Saya tak mampu beli kurta merah permintaan anak'
TUMPAT - Sudah berkali-kali anaknya meminta belikan baju kurta merah untuk raya tetapi seorang ibu hanya mampu memujuk anaknya memakai baju lama.
Tinggal seminggu lagi sambutan Aidilfitri tetapi tujuh beranak di Kampung Cherang Melintang belum ada lagi baju raya untuk keluarganya.
Samsiah Alni Mamat@Mat Zain, 40, berkata, anaknya Mohd Azam Mohd Zaid,9, teringin beraya dengan kurta kerana ramai kawannya memakai baju kurta raya tahun ini.
"Anak saya nak baju kurta warna merah, sudah seminggu dia merengek minta belikan baju kurta apabila kawannya sudah pun membeli baju raya.
"Nantilah ibu beli...itu sahaja yang mampu saya pujuknya padahal saya sendiri buntu.
"Kalau duit tak cukup juga, terpaksalah anak-anak memakai baju raya tahun lepas pemberian ibu saudara mereka," katanya.
Samsiah mempunyai 9 anak termasuk enam anak hasil perkahwinan pertamanya.
Dua anaknya diserahkan kepada keluarga angkat manakala anak sulung berusia 22 dan yang kedua berusia 20 tahun bekerja di Kuantan Pahang di restoran makanan segera.
Suaminya, Mohd Zaid Hasan, 44, hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM500 sebulan.
Samsiah berkata, tanggungannya kini hanya lima anak dan kelima-lima anaknya belum ada walaupun sepasang baju raya.
"Sedih juga kalau tak dapat tunaikan permintaan anak-anak, tetapi saya tak mampu nak sediakan baju baharu untuk mereka.
"Anak yang berusia 10 tahun pula minta belikan basikal untuk berulang alik ke sekolah, dengan pendapatan suami memang tak cukup nak belikan semua itu," katanya.
Keperitan hidup keluarga ini mendapat perhatian Yayasan Amal Datuk Zul Wisma bersama ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.
Pengerusi Yayasan Amal Datuk Zul Wisma, Datuk Dr Zulkepli Mohamed berkata, pihaknya menyumbangkan wang tunai RM500 dan barang keperluan dapur bagi meringankan bebanannya.
"Wang tersebut adalah sumbangan penyumbang Yayasan Amal Datuk Zul Wisma dan ziarah ini bersama ADUN Wakaf Bharu bukan sahaja di rumah Samsiah Alni tetapi tiga buah rumah lagi di daerah ini untuk agihkan sumbangan wang dan barang keperluan dapur," katanya.
Menurutnya, dengan wang tersebut diharapkan Samsiah Alni dapat tunaikan permintaan anaknya untuk beraya dengan baju baru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!