Pengarah MPS jalani sesi kaunseling
SELAYANG - Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Norhayati Ahmad yang diancam dalam insiden rumahnya dibaling cat dan molotov coctail oleh individu tidak dikenali baru-baru ini diberikan sesi kaunseling.
Timbalan Yang Dipertua MPS, Datuk Dr Juhari Ahmad berkata, ia sebagai suntikan semangat ke atas mangsa dan keluarga yang dalam ketakutan susulan insiden itu.
Menurutnya, pihaknya yakin insiden tersebut diberikan perhatian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas menahan suspek terlibat dan telah didakwa.
"Permulaannya, pasti dia (Norhayati) terkejut rumahnya disimbah cat, dibaling molotov selepas baru beberapa hari menyandang jawatan itu.
"Dia pernah menyuarakan hasrat untuk ditukarkan ke jabatan lain namun selepas diberikan sokongan, keadaannya kini stabil dan lebih berkeyakinan untuk meneruskan tugasan yang tertakluk kepada pihak atasan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MPS, pagi ini.
Menurutnya, ugutan itu tidak mematahkan usaha MPS untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan khususnya membanteras aktiviti tapak sampah haram.
"Lebih banyak penguatkuasaan akan dilakukan bagi mengekang aktiviti pembuangan sampah haram susulan daripada insiden itu.
"Membuat longkang di laluan masuk tapak sampah haram adalah penyelesaian jangka masa pendek yang akan dilakukan sebagai menyekat aktiviti lori keluar masuk ke tapak itu," katanya.
Katanya, MPS sebelum ini turut melakukan tindakan tegas termasuk kompaun dan sitaan ke atas lori yang dikesan melakukan aktiviti itu.
"Ia mungkin penyebab kepada rasa tidak puas hati pengusaha tapak sampah haram sehingga sanggup membuat ancaman kepada pengarah penguat kuasa.
"Sebagai jaminan keselamatan, pemantauan berkala dan pemasangan CCTV dilakukan bagi mengelak insiden sama berulang kepada mangsa," katanya.
Sinar Harian melaporkan insiden rumah Norhayati di Taman Muhibbah dibaling cat dan molotov coctail dalam dua insiden berasingan pada 13 Mei dan 28 April lalu dipercayai atas rasa tidak puas hati tindakan MPS melakukan penguatkuasaan ke atas tapak pelupusan sampah haram.
Susulan itu, sepuluh individu termasuk dua wanita dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 22 hingga 57 tahun ditahan dalam dua tangkapan berasingan beberapa hari selepas iniden kedua berlaku.
Dua suspek berusia 23 dan 30 tahun yang dipercayai melakukan perbuatan tersebut dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang, Khamis lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!