Parti pembangkang NZ nafi godam maklumat belanjawan

Parti Nasional nafi godam sistem komputer kerajaan bagi mencuri maklumat belanjawan New Zealand yang dijadual dibentangkan esok. - Gambar hiasan
Parti Nasional nafi godam sistem komputer kerajaan bagi mencuri maklumat belanjawan New Zealand yang dijadual dibentangkan esok. - Gambar hiasan
A
A
A

WELLINGTON - Parti pembangkang utama New Zealand menafikan menggodam sistem komputer kerajaan bagi mencuri dokumen berkaitan belanjawan negara yang bakal dibentangkan.

Parti Nasional yang membocorkan butiran belanjawan tersebut dua hari sebelum ia dijadualkan dibentangkan esok mendakwa memperoleh informasi berkaitan belanjawan berkenaan secara sah.

"Pihak kami tidak melakukan sebarang aktiviti menggodam bertujuan untuk memperoleh maklumat berhubung belanjawan tersebut," kata Ketua Parti Nasional, Simon Bridges sambil menuduh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Jacinda Ardern cuba melindungi kelemahan pentadbiran.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Perbendaharaan, Gabriel Makhlouf berkata, sistem komputer mereka telah digodam lebih 2,000 kali dalam tempoh 48 jam.

Ardern pula mengatakan tiada sesiapa yang mengaitkan Parti Nasional dengan serangan siber terbabit dan insiden itu telah dilaporkan kepada pihak polis.

Belanjawan yang bakal dibentangkan esok itu dijangka menyaksikan pengaliran dana negara bukan sahaja dalam sektor ekonomi malah memberi fokus kepada isu seperti kesihatan mental, kemiskinan kanak-kanak dan penderaan domestik.

Ditanya berhubung kebocoran maklumat tersebut, kerajaan mendakwa beberapa butiran data yang dibocorkan adalah tidak benar dan belanjawan akan tetap dibentangkan mengikut jadual asal. - BBC

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!