Angkara lipas, kilang roti diarah tutup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SANDAKAN - Sebuah kilang makanan yang menghasilkan produk roti di sini diarah tutup serta merta selama tempoh 14 hari oleh Pejabat Kesihatan Sandakan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr Johari Awang Besar berkata arahan penutupan dibuat disebabkan kilang produk roti terbabit gagal melaksanakan Program Jaminan Keselamatan Makanan apabila lipas dikesan dalam premis semasa pemeriksaan dijalankan.

"Operasi itu melibatkan beberapa lokasi terlibat dalam operasi ini yang diadakan dari kawasan Batu 2 ½ hingga Batu 8 Jalan Labuk.

"Antara objektif operasi kali ini adalah memastikan industri pengilangan makanan mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab dalam penghasilan makanan yang selamat dan sesuai untuk dimakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau sebuah bazar Ramadan di Batu 6 di sini hari ini.

Dr Johari juga berkata dalam operasi itu, 10 notis kompaun turut dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana gagal mengadakan Program Jaminan Keselamatan Makanan yang melanggar Peraturan-Peraturan Makanan Kebersihan Makanan 2009.

Menurutnya, kompaun RM2,500 itu membabitkan kilang memproses mee, kilang ais dan kilang pembungkusan beras, manakala tiga notis kompaun dikeluarkan kepada kilang memproses bebola ikan dan empat kepada kilang memproses produk roti dan kek.

Mengenai bazar Ramadan di Sandakan, Dr Johari berkata sebanyak 414 gerai di 10 bazar Ramadan diperiksa dengan 20 notis kompaun dikeluarkan.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding tahun lepas yang mana 413 gerai diperiksa dengan sembilan notis kompaun dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelbagai kesalahan kecil yang sering dilakukan peniaga di bazar itu ialah gagal memakai pakaian pengendali makanan yang lengkap, gagal menjaga kebersihan diri iaitu berkuku pendek dan gagal menanggalkan barang kemas di tangan ketika mengendalikan makanan.

Beliau juga berpuas hati kerana tidak ada laporan keracunan makanan daripada makanan yang dibeli di bazar Ramadan tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!