Wartawan, suami keracunan makan ayam pedas
KOTA BHARU - Seorang wartawan sambilan sebuah agensi berita bersama suaminya menjadi mangsa keracunan makanan dipercayai akibat makan ayam pedas yang dibeli di sebuah bazar Ramadan Pasar Gok Kapur di sini kelmarin.
Syaherah Mustafa, 27, dan suami, Ahmad Fikri Mohamad, 29, mengalami cirit-birit dan muntah sejak makan hidangan tersebut malam kelmarin.
Katanya, dia bersama seorang rakan pergi ke pasar tersebut pada petang Isnin dan rakannya itu turut membeli lauk jenis lain dari gerai yang sama.
“Kawan saya itu turut mengalami masalah sama walaupun tidak seteruk saya dan suami.
“Saya percaya keracunan ini berpunca dari gerai tersebut," katanya.
Menurutnya, sebelum itu dia berasa pelik melihat pemilik gerai mengambil lauk ayam yang berada jauh daripadanya.
"Saya beli dua ketul ayam dan semasa hendak berbuka saya baru perasaan, salah satunya sudah kebiruaan.
“Saya cubit sedikit isi ayam tersebut, tapi setelah memakannya saya meludahkannya semula kerana bau dan rasa yang busuk, suami juga melakukan sama seperti saya.
“Tidak lama lepas itu, saya dan suami mula berulang alik ke tandas sehingga tidak dapat tidur dan saya yang paling teruk terjejas sehingga terpaksa mengambil cuti sakit sejak semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Syaherah berkata, berikutan keadaanya semakin lemah dan masih cirit-birit serta muntah menyebabkan dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Pasir Mas awal petang ini.
“Saya sangat kesal dan berharap tindakan akan diambil ke atas gerai berkenaan supaya menjadi pengajaran kepada peniaga lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!