KPDNHEP cadang meter elektrik dikalibrasi untuk pastikan ketepatan

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mencadangkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) menggunakan meter elektrik yang telah dikalibrasi untuk memastikan ketepatan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia penting untuk memperbaiki kelemahan serta memastikan kejadian bil elektrik tidak naik mendadak pada masa depan.

"KPDNHEP ada badan kawal selia untuk mengesahkan alat timbang diberi pensijilan. Alangkah baiknya, kalau sistem yang sama diguna bagi penggunaan meter elektrik dan air, jika ia belum ada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Inspirasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, isu kenaikan bil elektrik mendapat perhatian di mesyuarat Kabinet hari ini, di mana ia turut dibangkitkan sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Menurutnya, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin telah memberi penjelasan berhubung isu yang menjejaskan kira-kira 1.7 juta pemilik akaun.

"Yeo turut memaklumkan langkah-langkah pembetulan untuk keadaan itu serta sebab musabab dan punca. Beliau turut mengarahkan TNB mengatasi masalah itu," katanya.

Dari segi perspektif pengguna, Saifuddin berharap TNB dapat memperbetulkan keadaan itu dengan segera.

"Saya percaya TNB punyai kaedah tertentu. Jika pengguna sudah bayar, saya harap TNB bagi rebat pada bil yang akan datang dan keluarkan bil baru bagi pengguna yang belum membayar," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!