Lepasan cemerlang SPM digalak mohon IPG
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang untuk memohon Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata sebanyak 6,000 tempat ditawarkan di bawah program itu namun kebanyakan pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional sedangkan negara juga memerlukan guru-guru yang cemerlang.
"Semuanya ingat nak masuk matrikulasi, akhirnya IPG mengalami kemerosotan. Jadi kita menggalakkan pelajar cemerlang yang berminat memohon menjadi guru," kata pada majlis berbuka puasa KPM bersama media, di sini hari ini.
Selain itu, Maszlee berkata KPM juga menggalakkan permohonan untuk menjadi guru Bahasa Mandarin dan Tamil yang diperlukan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
"Kita menghadapi kurangnya permohonan untuk guru mengajar Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil," katanya.
Dalam pada itu, Maszlee berkata KPM akan memberi tumpuan kepada usaha mendidik masyarakat supaya melihat kepada kursus yang menjanjikan peluang kerjaya pada masa depan seperti bioteknologi, teknologi nano, analisis data dan robotik.
Mengakui KPM belum berjaya mendidik masyarakat untuk melihat masa depan yang lebih mencabar, beliau berkata pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional seperti perubatan, farmasi, pergigian, guaman dan akauntan.
"Ramai yang masih terikat dengan kursus tradisional dan bila tak dapat, masing-masing marah walhal banyak kursus yang menjanjikan peluang kerja lebih baik pada masa depan tidak ada orang ambil," katanya.
Katanya, pada tahun lepas terdapat 5,000 tempat di universiti awam (UA) bagi kursus-kursus sains berbeza yang tidak mendapat sambutan.
Maszlee berkata kerajaan tidak mahu wujud ketidak sepadanan antara kursus yang diambil pelajar di institusi pengajian tinggi dengan peluang kerjaya yang ditawarkan pada masa akan datang. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!