Malaysia hantar deklarasi Tolak Perang Amerika Syarikat di Iran
Penyelaras Hentikan Kempen Perang, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, deklarasi itu diedarkan segera kepada semua NGO di seluruh negara untuk diperakui.
Katanya, deklarasi itu juga diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen dan parti politik sebelum diserahkan kepada OIC.
"Deklarasi itu dibuat bagi membuktikan rakyat Malaysia menentang keras provokasi Amerika Syarikat (AS) untuk berperang terhadap Iran.
"Kami mengutuk keghairahan Presiden AS, Donald Trump mengenai dasar ganas pentadbiran negara itu yang memulakan provokasi perang ke atas Iran," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sebaik selesai mempengerusikan mesyuarat tergempar di sini.
Mesyuarat tergempar itu disertai 20 NGO Islam dalam dan luar negara seperti Palestin, Iran dan Myanmar dan wakil Kementerian Luar Negeri.
Menurut Mohd Azmi yang juga Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu, PBB turut didesak untuk mengadakan persidangan segera bagi ketegangan yang boleh mencetuskan perang dunia.
"Majlis Keselamatan PBB perlu memanggil mesyuarat khas mendesak untuk menghentikan provokasi perang ke atas Iran dilancarkan AS yang turut didorong oleh beberapa negara Arab," katanya.
Tambahnya lagi, NGO Islam dalam dan luar negara serta masyarakat dunia juga digesa untuk turut mengutuk tindakan AS yang cuba untuk menimbulkan konflik ini.
"Kami juga merumuskan apa yang cuba dilakukan Trump ini adalah mengulangi apa yang dilakukan AS terhadap Iraq sebelum ini dengan pelbagai dakwaan palsu semata-mata ingin mencetuskan perang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!