Keluarga bayi hidup daif
PADANG BESAR - Keluarga bayi berusia 6 bulan yang maut dipukul bapa kandungnya di Batu Tiga Kampung Baroh, Jalan Santan, Ngulang di sini, hidup dalam keadaan daif dan mengharapkan ihsan orang ramai.
Jiran mereka yang juga pesara, Zahari Kassim, 56, berkata, difahamkan keluarga berkenaan hanya makan bubur nasi bersama gula kerana kesempitan wang.
"Saya bersama dua penduduk kampung yang simpati dengan nasib mereka sekeluarga kemudian membuat kutipan amal. Kami beli kelengkapan dapur seperti gula, kopi, beras dan lain-lain barangan dan serahkannya Isnin lalu iaitu sehari sebelum kematian bayi.
"Masa hantar barang-barang, bapa dia ada ucapkan terima kasih dan keadaan bayi itu pula nampak sihat sahaja tapi ibu dia ada mengadu anak dia dah dua hari tidak buang air besar," katanya
Menurutnya, selepas mengetahui mengenai nasib menimpa bayi berkenaan, dia agak terkejut dan sedih.
"Bapa dia memang ada penyakit mental. tapi tak pernah pula kami dengar dia mengamuk atau memukul anak-anak. Dia pun jarang bergaul dengan masyarakat kampung yang lain," katanya.
Sementara itu, Seorang lagi jiran mereka, Fatimah Hashim, 68, berkata, ibu mangsa ada datang ke rumahnya untuk meminta daun semambu.
"Dia kata anak dia sakit perut dan dah dua hari tak buang air besar jadi dia ambil daun semambu nak buat ubat. Saya pun tak pergi tengok anak dia, ingatkan tak teruk," katanya.
Menurutnya, dia juga tidak pernah mendengar keluarga berkenaan bergaduh sejak pasangan berkenaan mempunyai anak kecil dan terkejut apabila semalam media melaporkan bayi itu maut akibat dipukul bapa kandungnya.
Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, hasil siasatan, mangsa dikatakan ditampar bapanya yang berusia 44 tahun ketika lelaki berkenaan melepaskan rasa marah selepas bergaduh dengan isterinya kira-kira jam 2 petang Sabtu lalu.
Menurutnya, wanita tersebut kemudian membawa mangsa dan empat lagi anaknya berusia 2 hingga 7 tahun ke rumah kenalannya di Arau Isnin lalu kerana bimbang suaminya yang dikatakan mempunyai masalah mental itu mengulangi perbuatan sama.
"Tiada sebarang kesan atau tanda kecederaan luaran pada tubuh badan mangsa dan tidak ada sebarang senjata digunakan dalam kejadian ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!