Aidilfitri medan perpaduan nasional

A
A
A

MINGGU depan, seluruh umat Islam di seluruh dunia akan meraikan Aidilfitri yang menandakan tamatnya sebulan menjalani ibadah puasa.

Sebagaimana falsafah Aidilfitri merupakan hari di mana manusia kembali kepada fitrahnya yang asal; suci dan bersih daripada dosa sepertimana dia baru dilahirkan, maka penghayatan kepada sambutan dan perayaan Aidilfitri ini seharusnya mampu dicernakan baik dari sudut spiritual mahupun simbolik.

Umum mengerti Aidilfitri dari perspektif spiritualnya dikaitkan dengan aspek kerohanian dalam amalan berpuasa yang bertujuan untuk menundukkan nafsu yang cenderung untuk melakukan keingkaran. Walaupun begitu, ramai yang terlepas pandang untuk melihat Aidilfitri dari sudut simbolik, terutamanya dalam konteks perpaduan dan rekonsiliasi nasional.

Ulama dan cendekiawan Islam terkenal, Dr Syeikh Yusuf al-Qaradawi sentiasa menganjurkan agar kedatangan Aidilfitri sentiasa disambut dengan memohon doa kepada ALLAH agar permulaan Syawal itu dimulai dengan keamanan dan keimanan serta diisi dengan amalan kunjung mengunjung kaum keluarga, saudara-mara serta rakan taulan.

Ia bersesuaian dengan fitrah manusia yang bersaudara dan hidup bermasyarakat, apatah lagi dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia ini.

Kesempatan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini seharusnya digunakan untuk memupuk perasaan muhibah dan persaudaraan, baik sesama Islam mahupun yang bukan beragama Islam.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum, musim perayaan seharusnya digunakan bukan sahaja untuk bergembira tetapi turut mengisi perayaan itu dengan unsur penyatuan dan pemupukan semangat kekitaan.

Walaupun hubungan kaum di Malaysia ini masih dianggap baik dan stabil, tanpa sebarang usaha untuk memupuknya mampu menggugat kestabilan itu untuk jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini, kerajaan seharusnya berfikiran kreatif dalam menjadikan mana-mana sambutan perayaan bersifat kebangsaan supaya menjadi platform terbaik untuk terus menyuburkan perpaduan.

Ini kerana, kelaziman sambutan mana-mana perayaan yang bersifat kebangsaan hanya sekadar satu pesta makanan dan hiburan semata-mata yang disiarkan secara langsung di televisyen nasional, tanpa ada sebarang pengisian yang bermakna.

Setelah apa yang berlaku dalam konteks hubungan kaum di negara kita ini, kehadiran Aidilfitri ini mampu menjadi platform kepada proses rekonsiliasi kebangsaan lantas menjernihkan kembali keharmonian dalam kita meraikan kemeriahan berhari raya.

Apa yang berlaku sepanjang setahun selepas era Malaysia Baharu ini memerlukan satu proses rekonsiliasi yang segera dan serius. Unsur-unsur politik yang melampau dan sempit dikhuatiri akan berterusan sekiranya ada pihak yang tidak bertanggungjawab berterusan menggunakan modal ini dalam meraih perhatian dan keuntungan politik.

Kita sudah menyaksikan bagaimana tetangga kita di Indonesia yang ketika ini berada dalam kekacauan politik hanya kerana ada pihak yang tidak mahu menerima dan bersabar dengan keputusan pilihan raya. Akibatnya, negara itu huru-hara hanya kerana khabar angin yang masih belum terbukti terhadap dakwaan penyelewengan undi ketika Pemilihan Presiden (Pilpres) bulan lalu.

Berbanding kita di Malaysia, kita patut bersyukur kerana peralihan kuasa selepas pilihan raya berjalan dengan aman. Walaupun tahap demokrasi kita masih belum di tahap yang baik, namun tahap toleransi dan berlapang dada pemimpin politik kita harus dipuji.

Itulah yang memungkinkan transisi kepimpinan berlangsung dengan baik dan tertib, sesuatu yang sukar berlaku dalam sesebuah negara yang bersifat ‘separuh demokrasi’ seperti Malaysia yang telah diperintah oleh satu parti yang tunggal.

Walaupun begitu, kita tidak harus membiarkan hal itu terhenti setakat ini sahaja kerana yang kita sedang lihat adalah pertukaran kerajaan yang lancar itu tidak membawa kepada perubahan yang diidamkan, terutamanya dalam konteks perpaduan kaum.

Sebaliknya, yang kelihatan perpaduan dan keharmonian itu semakin tergugat dek sesetengah individu yang buta hati dan pentingkan diri sendiri.

Oleh itu bersempena ketibaan Aidilfitri kali ini gunakanlah kesempatan yang ada untuk mengetepikan segala perselisihan ideologi dan politik yang memudaratkan. Sewajarnya Aidilfitri tahun ini mesti menjadi medan rekonsiliasi.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Kampus Seremban

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!