Tangani keselamatan tanah Arab

No Image Caption
A
A
A

LANGKAH Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz memanggil tiga sidang kemuncak yang akan berlangsung di sini pada 30 dan 31 Mei ini adalah ekoran isu-isu keselamatan dan kestabilan rantau Asia Barat yang semakin membimbangkan.

Raja Salman menjemput ke Makkah ketua-ketua negara dan kerajaan tiga buah organisasi negara Islam iaitu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Liga Arab.

Sidang Kemuncak Islam itu diadakan di bawah tema Sidang Kemuncak Makkah: Berganding Bersama Ke Arah Masa Depan bertujuan untuk mencari kesepakatan menangani isu-isu semasa dan perkembangan yang berlaku dalam dunia Islam.

Menurut laporan Saudi Gazette, dua sidang kemuncak Liga Arab dan GCC adalah sidang tergempar manakala OIC mengadakan sidang kemuncak biasa kali ke-14.

Antara perkembangan yang berlaku dalam seminggu lalu ialah serangan pemberontak Houthi dari Yemen yang membedil Arab Saudi dengan peluru berpandu termasuk menembak ke arah kota suci Makkah.

Serangan itu berjaya dipatahkan di ruang udara sebuah lembah di Taif oleh pasukan pertahanan Arab Saudi.

Malaysia turut menghadiri Sidang Kemuncak OIC dan akan diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menteri Media Arab Saudi, Turki Al-Shabanah dipetik sebagai berkata, Jemaah Menteri Arab Saudi berharap mesyuarat di kota suci Makkah itu akan dirahmati Allah dan dapat menangani cabaran-cabaran negara Arab dan Islam.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat peringkat para pegawai telahpun dimulakan di Jeddah, kira-kira 90 kilometer ke barat Makkah, sejak 27 Mei lalu sebelum Sidang Kemuncak Makkah berlangsung esok.

Penjaga Dua Masjid Suci Islam, Raja Salman turut menjemput pemimpin Qatar ke sidang kemuncak tersebut, satu pelawaan yang bakal membuka lembaran baharu dalam hubugan diplomasi di Asia Barat.

Qatar sebelum ini diboikot oleh negara-negara jirannya termasuk Arab Saudi ekoran perbalahan diplomatik kira-kira dua tahun lalu.

Antara isu-isu lain ialah perbincangan mengenai langkah-langkah meningkatkan keselamatan dan kestabilan susulan serangan ke atas empat kapal tangki minyak di perairan Teluk – dua daripadanya milik Arab Saudi, satu kepunyaan Emeriyah Arab Bersatu (UAE) dan sebuah milik Norway.

Sidang Kemuncak Makkah diadakan bagi membincangkan isu keselamatan negara-negara di rantau Asia Barat. (Gambar kecil: Raja Salman)
Sidang Kemuncak Makkah diadakan bagi membincangkan isu keselamatan negara-negara di rantau Asia Barat. (Gambar kecil: Raja Salman)

Terdapat juga laporan militia Houthi yang disokong oleh Iran cuba menyerang paip-paip minyak Arab Saudi.

Serangan itu berlaku ketika Arab Saudi dan Iran berbalah tentang sumber persenjataan Houthi manakala Amerika Syarikat (AS) pula cuba untuk mengenakan sekatan ke atas eksport minyak Iran.

AS mengumumkan ia menghantar tentera tambahan seramai 1,500 orang ke perairan Teluk pada 26 Mei lalu dan tindakan itu dikritik oleh Iran yang mendakwa ia menambah ketegangan di Asia Barat.

Dalam beberapa hari lepas, media Arab melaporkan Arab Saudi turut berjaya memintas dron membawa bom yang dilancarkan oleh pemberontak Houthi di Yemen yang menyasarkan lapangan terbang Jizan.

Sebelum itu, kumpulan militia tersebut juga cuba menyerang lapangan terbang Najran yang terletak dekat sempadan Yemen-Arab Saudi.

Kumpulan militia itu juga melancarkan roket balistik ke arah Makkah dan Riyadh tetapi berjaya digagalkan oleh pertahanan udara Arab Saudi.

Yemen terjerumus dalam perang saudara dan keganasan sejak September 2014 apabila pemberontak Houthi yang disokong oleh Iran menguasai ibu negara Sanaa dan memaksa kerajaan Yemen yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa berundur ke selatan Yemen.

Wilayah Yemen di utara dikuasai oleh pemberontak Houthi. Pemberontak Houthi dikatakan memiliki teknologi roket buatan sendiri yang boleh meliputi sasaran sejauh 500 kilometer.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!