Kalau tiada apa yang perlu dikatakan, maka berdiam diri adalah lebih baik

Peliharalah mulut kita daripada membutirkan kata-kata yang boleh membinasakan diri kita. -GAMBAR HIASAN.
Peliharalah mulut kita daripada membutirkan kata-kata yang boleh membinasakan diri kita. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Pepatah itu sering diungkapkan jika mulut atau lidah kita terlanjur daripada membutirkan kata-kata yang boleh menyusahkan diri sendiri.

Bukan sahaja masyarakat tidak suka, bahkan agama Islam turut melarang umatnya berkelakuan sedemikian.

Sesungguhnya, agama Islam merupakan sebuah agama yang amat meniktikberatkan perihal akhlak.

Disebabkan itulah Rasulullah SAW diutuskan kepada umat manusia untuk menyempurnakan keindahan akhlak.

Baginda SAW bersabda: "Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak." (Riwayat Ahmad)

Dalam perihal mulut pula, sememangnya terdapat hadis yang menceritakan bahawa kebanyakan penghuni neraka adalah orang-orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya ketika hidup di dunia.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga.

Artikel Berkaitan:

Baginda SAW menjawab: "Takwa kepada ALLAH dan baik akhlaknya." Lalu baginda ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: "Mulut dan kemaluan." (Riwayat al-Tirmizi)

Menurut Syeikh Abdullah al-Talidi, hadis itu membicarakan berkaitan sebab-sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga atau neraka.

Adapun, berkaitan maksud mulut di dalam hadis adalah orang yang tidak menjaga dan berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya.

Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya.

Sementara itu, Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan, makna mulut di dalam hadis berkenaan adalah menjaga lidahnya kerana ia boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketakwaan.

Memang agak sukar untuk kita menjaga mulut namun, sebaiknya marilah kita sama-sama cuba menjadi seorang muslim yang baik.

Jika dirasakan tiada apa yang perlu dikatakan, maka berdiam diri adalah lebih baik.

(Sumber: Irsyad al-Hadith Siri ke-374: Mulut Punca ke Neraka, Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!