Tak mustahil jadi realiti
"SAYA mahu lihat ada pemain tempatan (Perak), dapat beraksi di luar negara,” itu luahan Menteri Besar Perak yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal berkata, hasrat berkenaan tidak mustahil untuk direalisasikan asalkan pemain beriltizam kerjaya dalam sukan bola sepak tidak hanya terhenti di negara ini.
Malah menurutnya, suatu hari nanti akan ada pemain-pemain tempatan ini yang beraksi mewakili pasukan-pasukan bola sepak ternama di luar negara.
“Hari ini kita sibuk bercakap pasal pemain import. Saya mengimpikan pemain kita, pemain tempatan kita pula yang dapat bermain di luar (negara).
“Orang kata, saya angan-angan, benda tak pernah berlaku. Tapi saya yakin, ia akan berlaku,” katanya ketika berucap sempena Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-Anak Yatim Nurul Iman dan Pemain Liga Super Perak di Laman Seri Ridzuan (Kediaman Lama Menteri Besar Perak) di sini semalam.
Pada majlis berkenaan, Ahmad Faizal turut menyerahkan surat tawaran lot tapak kediaman kepada pemain serta pegawai pasukan Perak atas kejayaan muncul juara Piala Malaysia 2018.
Sementara itu Ahmad Faizal berkata, lot tapak kediaman berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan daripada kerajaan negeri.
Katanya, tapak kediaman di lokasi Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Piala Malaysia 2018.
“Kita sentiasa mahukan yang terbaik untuk pemain. Diharapkan pemain bukan hanya bermain untuk pasukan atau untuk negeri semata-mata tetapi akan juga beraksi di luar negara suatu hari nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!