Ops Selamat pantau jalan raya, rumah

Othman menyempurnakan gimik pelancaran Ops Selamat 15/2019 peringkat Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Othman menyempurnakan gimik pelancaran Ops Selamat 15/2019 peringkat Kontinjen Pahang di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN- Keselamatan pengguna jalan raya dan dan kediaman yang ditinggalkan menjadi fokus utama Polis Pahang pada Ops Selamat 15/2019 sempena perayaan Aidilfitri kali ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, selain memastikan penurunan kadar kemalangan, pihaknya juga menyasarkan sifar kes pecah rumah di negeri ini sepanjang ops itu.

Menurutnya, selain mengatur gerak anggota mencukupi, pihaknya turut berkolaborasi dengan beberapa pasukan sahabat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Pasukan Bulan Sabit Merah dan St John untuk bantuan kecemasan sekiranya berlaku kemalangan dan sebagainya.

“Selain itu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang turut memberi tumpuan dengan merancang tindakan berkesan pada sebelum, semasa dan selepas cuti perayaan ini.

“Dalam konteks ini, orang ramai juga perlu mainkan peranan masing-masing untuk memastikan keselamatan diri, keluarga dan harta benda masing-masing dengan mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.

"Pada masa sama, mereka perlu mengambil peluang kemudahan yang disediakan kepada polis untuk melindungi kediaman yang ditinggalkan dengan mengisi borang balik kampung dan sebagainya,” katanya.

Othman mengagihkan goodies kepada pengguna Jalan Pintasan Kuantan sempena Pelancaran Ops Selamat 15
Othman mengagihkan goodies kepada pengguna Jalan Pintasan Kuantan sempena Pelancaran Ops Selamat 15

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad menyempurnakan Pelancaran Ops Selamat 15/2019 Peringkat Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Turut Hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, Ketua Jabatan JPJKK, Datuk Abdul Aziz Salleh, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Muhammad Abdullah dan Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Sani Harul serta wakil beberapa agensi lain.

Beliau berkata, dalam konteks keselamatan jalan raya, orang ramai perlu peka dengan keadaan kenderaan masing-masing supaya sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan selamat sebelum memulakan perjalanan.

“Tanggungjawab sama perlu diambil pengusaha syarikat bas atau pengangkutan awam supaya nyawa penumpang lebih terjamin,”katanya.

Othman berkata, sehingga semalam, pihaknya telah mengedar kira-kira 2,000 borang balik kampung dan daripada jumlah itu hanya 317 maklum balas diterima.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!