Siasatan terhadap Pengerusi DAP Jerantut selesai
KUANTAN - Siasatan ke atas Pengerusi DAP Jerantut, Loo Why Leong berhubung kes ugutan jenayahnya terhadap Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, selesai.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, memandangkan kes itu membabitkan ahli politik serta berkepentingan awam, jadi kemungkinan ia akan dirujuk ke Putrajaya.
"Sama ada pemimpin itu akan didakwa atau sebaliknya terpulang atas pertimbangan pihak timbalan pendakwa raya dan kita (polis) masih menunggu arahan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mewakili Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Zakaria Ahmad pada Majlis Pelancaran Op Selamat 15/2019 di sini hari ini.
Pemimpin DAP itu ditahan 19 Mei lalu bagi membantu siasatan selepas Mazlan membuat laporan polis berhubung tindakannya menghantar pesanan berbaur ugutan melalui aplikasi WhatsApp dipercayai berpunca daripada operasi polis terhadap penjualan minuman keras tanpa lesen di daerah berkenaan.
Why Leong bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan pada hari yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!