KDPNHEP kesan 28 kes peniaga tak letak tanda harga

Penguat kuasa KPDNHEP yang menjalankan pemantauan sekitar premis peniagaan di Tanah Merah.
Penguat kuasa KPDNHEP yang menjalankan pemantauan sekitar premis peniagaan di Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tanah Merah mengesan sebanyak 28 kes melibatkan peniaga tidak meletakkan tanda harga pada barangan jualan di daerah ini sejak Januari hingga semalam.

Ketua Cawangannya, Wan Mohd Marzuki Wan Abd Kadir berkata, melalui hasil pemantauan yang dijalankan pihaknya, hanya kes gagal meletakkan tanda harga dikesan setakat ini.

Menurutnya, buat masa ini tiada kenaikan harga pada barang jualan termasuk 25 barangan kawalan termasuk ayam, telur, ikan dan daging menjelang Aidilfitri.

"Rata-rata peniaga masih mematuhi peraturan dan setakat ini hanya kesalahan tidak letak tanda harga yang dikesan dan tiada kes melibatkan antipencatutan.

"Bagaimanapun kita masih mempertingkatkan usaha dalam mengenal pasti jika ada peniaga yang ingkar maka akan dikenakan tindakan tegas," katanya.

Beliau berkata, sempena musim perayaan Aidilfitri yang hanya berbaki seminggu lagi, pihaknya turut melipatgandakan pemantauan dan pemeriksaan di setiap premis perniagaan.

"Buat masa ini juga Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2019 telah bermula 21 Mei lalu dan akan berlangsung sehingga 19 Jun ini.

"Jadi kita harap peniaga terus mematuhi peraturan dan tidak sewenangnya menaikkan harga barangan jualan sesuka hati.

Artikel Berkaitan:

"Jika mereka berbuat demikian maka kita tidak akan berkompromi pada mana-mana pihak dan notis kompaun akan dikeluarkan," katanya.

Wan Marzuki berkata, pemantauan berkala ini perlu dilakukan dalam usaha mengelak pembeli tertipu dan menjadi mangsa kepada peniaga yang mahu raih keuntungan lebih.

"Buat masa ini juga kita turut mengadakan pemantauan di sekitar bazar Ramadan dan di 10 lokasi terpilih dalam usaha memastikan harga terkawal.

"Kita juga sering adakan tinjauan di bazar sekitar jam 4 hingga 7 petang dan diharap dengan pemantauan ini, mampu mendidik supaya peniaga dapat menjalankan perniagaan dengan berhemah dan tidak menjual barangan jualan dengan harga yang tidak munasabah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!