Jemaah masjid alunkan surah al-Kahfi

Empat imam masjid negeri, Ahmad Tirmizi (dua dari kanan) dan Muhammad Asyraf (kanan) mengalunkan ayat dari surah al-Kahfi secara bergilir-gilir pada program World #QuranHour hari ini. - Foto Ihsan Masjid Negeri Selangor

A
A
A

SHAH ALAM - Hampir 400 jemaah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini berkumpul hari ini untuk sama-sama mengalunkan bacaan surah al-Kahfi sempena program World #QuranHour.

Imam Masjid Negeri Selangor, Ustaz Abu Dzar Adanan berkata, program tersebut diadakan secara sederhana pada tahun ini dengan mengambil keberkatan pada hari-hari terakhir Ramadan.

Beliau berkata, tidak seperti tahun lalu, program turut disertai jemputan luar tetapi kali ini, ia dijalankan secara santai dan hanya melibatkan jemaah masjid ini sahaja.

"Kita buat dalam kalangan jemaah kerana ketika ini musim cuti persekolahan dan kebanyakan agensi atau badan lain turut mengadakan program sama di peringkat dalaman.

Kanak-kanak antara jemaah yang tidak ketinggalan untuk sama-sama membaca dan mengalunkan surah al-Kahfi. - Foto Ihsan Masjid Negeri Selangor
Kanak-kanak antara jemaah yang tidak ketinggalan untuk sama-sama membaca dan mengalunkan surah al-Kahfi. - Foto Ihsan Masjid Negeri Selangor

"Walaupun tidak ramai seperti sebelum ini, Alhamdulillah mesej kempen untuk baca, faham dan amal itu sampai," katanya kepada Sinar Harian.

World #QuranHour 2019 yang bertemakan 'Solusi Cabaran Sejagat' daripada surah Al-Kahfi adalah kempen membentuk landasan solidariti ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran dengan mengambil semangat dan keberkatan 10 hari terakhir Ramadan.

Abu Dzar berkata, pada tahun ini, pihaknya turut menampilkan kelainan dari segi gaya bacaan di mana slot pertama program dimulakan dengan bacaan surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10 oleh Johan Qari Peringkat Antarabangsa 2014, Uztaz Ahmad Tirmizi Ali dan diikuti oleh jemaah yang hadir.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setelah selesai bacaan, Ustaz Muhammad Asyraf Ayob selaku pentadabbur jemputan membaca terjemahan ayat berkenaan.

"Dalam sesi seterusnya, empat imam Masjid Selangor termasuk Imam Besar, Muhammad Farhan Wijaya pula membacakan ayat 100 hingga 110 surah sama dan diikuti jemaah yang hadir.

Antara jemaah wanita yang hadir memeriahkan program World #QuranHour di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. - Foto Ihsan Masjid Negeri Selangor
Antara jemaah wanita yang hadir memeriahkan program World #QuranHour di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. - Foto Ihsan Masjid Negeri Selangor

"Bacaan kali ini juga tidak dibuat secara halaqah atau duduk dalam kumpulan, sebaliknya hadirin duduk di saf masing-masing," katanya.

Program yang berlangsung pada jam 9 pagi itu tamat kira-kira sejam kemudian.

World #QuranHour menjadi asas penyatuan ummah tanpa mengambil kira perbezaan, kedudukan, latar belakang, ideologi, fahaman politik, ras etnik mahupun agama, pemimpin dan rakyat.

Sebaliknya, al-Quran adalah titik temu kebangkitan dan penyatuan ummah hingga lahirnya sebuah dunia yang rahmah, berbudi dan penyayang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!