Kelindan lori dipenjara 12 bulan, denda kerana curi motosikal
Masjistret Tawfiq Affandy Chin menjatuhkan hukuman itu terhadap R Vignesvaran, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu, bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 12 Februari lepas dan penjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda.
Vignesvaran, didakwa mencuri sebuah motosikal milik V Prabakaran, 32, di kawasan tempat letak motosikal di sebuah pasar raya di Metro Prima Kepong di sini, antara 9.25 pagi hingga 2.30 petang, 9 Februari lepas mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rajdeep Singh Bhupinder Singh, memohon hukuman penjara dan denda yang tinggi supaya tertuduh mendapat pengajaran.
“Tertuduh sebelum ini mempunyai rekod lampau atas kesalahan mencuri, ini menunjukkan tertuduh tidak pernah insaf dan mengulangi kesalahan ini lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Vignesvaran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, dengan alasan dia perlu menanggung keluarganya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!