Bukan sekadar penyampai
UNTUK memecah tembok kebosanan ketika memandu, radio menjadi peneman setia penulis. Lazimnya, penulis akan memilih stesen radio yang memutarkan lagu-lagu yang segar dan terkini.
Pada satu hari, secara kebetulan, stesen radio yang biasa didengar dirasakan kurang menyengat. Lantas, penulis memutar tombol hingga berhenti pada frekuensi 91.5 FM. Jika di Lembah Klang, ia merupakan radio IKIM FM iaitu radio milik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Tatkala mendengar butiran percakapan beberapa penyampai, hati penulis tertanya: "Mereka memang ustaz dan ustazah atau lulusan bidang agama ke?"
Masakan tidak, susunan kata mereka begitu teratur. Mereka juga menyampaikan dakwah dengan cara paling sopan. Inti percakapan mereka penuh berilmu bukan semberono. Paling menarik, cara pendekatan mereka bersifat santai.
Daripada hanya mendengar suara mereka di corong radio, akhirnya penulis bersua muka dengan tiga penyampai di konti IKIM FM di Kuala Lumpur baru-baru ini. Mereka ialah Norhayati Paradi, Mohammad Suffian Amrin dan Khairi Hazwan Muhammad Asri.
Cabaran
Kepada Sinar Islam, Norhayati menjelaskan, bukan semua penyampai di stesen radio itu merupakan lulusan bidang agama. Ada yang mengambil jurusan komunikasi, cuma sebahagiannya merupakan graduan dalam jurusan syariah.
"Saya sendiri merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Memang saya akui, cabaran saya lebih besar lantaran radio IKIM memang mengutamakan kandungan Islamik sedangkan saya tiada latar belakang Islamik yang begitu kukuh," ujar beliau yang mula bergelar penyampai radio IKIM sejak tahun 2007.
Namun, Norhayati, 38, yang turut menggalas tugas sebagai penerbit rancangan tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan.
"Kita kena berterusan belajar dan belajar. Dari situ, ALLAH berikan hidayah dan hadiahkan kita buah fikiran. Dalam masa sama, kita sendiri boleh belajar (mendalami ilmu agama). Lama-kelamaan ia akan berkembang.
"Saya tak nafikan, kawan-kawan di sekeliling juga banyak membantu. Contohnya, mereka mencadangkan ustaz atau ustazah mana yang sesuai bercakap tentang sesuatu topik. Segala idea untuk pengisian rancangan dibincangkan bersama untuk mendapatkan hasil yang terbaik," ujarnya yang mengendalikan slot Aspirasi bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang setiap Isnin hingga Jumaat.
Norhayati meneruskan naratif ceritanya. Kali ini, beliau galak bersembang tentang pengisian IKIM pada bulan Ramadan.
"Sebenarnya, sejak bulan Syaaban lagi sebelum masuknya bulan Ramadan, kami telah mengetengahkan sunah Rasulullah SAW. Ada masyarakat kita lakukan apa yang pernah dilakukan Nabi Muhammad SAW tetapi dengan cara yang salah. Itulah yang kami betulkan sebelum masuknya bulan Ramadan," jelasnya yang tidak berdepan masalah ketika bersiaran pada bulan puasa.
Digelar ustaz
Seorang lagi penyampai, Mohammad Suffian merupakan bekas pelajar undang-undang. Namun, penyanyi kumpulan nasyid Saujana itu melahirkan rasa syukur kerana dapat mengembangkan cabang dakwahnya di corong radio pula.
Suaranya boleh didengari pada segmen Warna Pagi setiap Isnin hingga Jumaat.
Meskipun sekian lama berada di landasan dakwah, Mohammad Suffian, 38, berkata, pendekatannya diolah mengikut kesesuaian.
"Dalam menyampaikan lagu nasyid, kita perlu jaga pitching. Namun di radio, kita perlu fokuskan kepada kandungan rancangan, program dan segmen setiap hari. Segalanya mesti memberi manfaat kepada pendengar agar ia bersesuaian dengan slogan IKIM FM iaitu Inspirasi Inforia Islami.
"Satu lagi, kita kena sampaikan dengan penuh adab walaupun mungkin ada terselit sedikit hiburan. Apa yang disampaikan bukan sekadar info semata-mata, sebaliknya kami juga sampaikan ilmu supaya pendengar dapat mendapat faedah daripadanya," jelasnya yang sudah sembilan tahun berkhidmat di IKIM.
Menjawab satu soalan, Mohammad Suffian berkata, IKIM FM sedaya upaya meringankan penyampaian dakwah dengan membawa isu-isu kemasyarakatan, sosial dan tular.
"Cuma cabarannya, bagaimana kita hendak menyampaikannya dalam bentuk yang diterima ramai? Ia mesti tidaklah terlalu lawak, (seolah-olah nampak seperti) main-main atau tidak terlalu berat. Yang penting santai tetapi sampai (mesejnya)," katanya.
Dek kerana kerjayanya yang lebih kepada dakwah itu, Mohammad Suffian pernah dipanggil ustaz oleh masyarakat.
"Saya kurang selesa dipanggil ustaz. Saya tak kisah orang hendak panggil saya Wak Pyan sebab saya (berketurunan) Jawa, atau panggil abang atau cikgu pun okay. Saya rasa berat dengan panggilan ustaz sebab ada ramai lagi ustaz-ustaz lain yang lebih banyak mendalami bidang syariah, akidah, usuluddin dan usul fiqh," ujarnya.
Sebelum mengakhiri bicara, Mohammad Suffian berkata, penting baginya menelaah topik yang akan dikendalikannya bersama rakan penyampai.
"Kita perlu temubual tetamu yang hebat dan pakar dalam bidang masing-masing, jadi saya wajib ulangkaji sesuatu topik," ujar beliau.
Perubahan kerjaya
Dalam kalangan tiga penyampai IKIM FM yang penulis temubual, Khairi Hazwan, 33, adalah yang paling muda. Beliau baru berkhidmat di IKIM FM sejak lima bulan lalu.
Sebelum itu, beliau bekerja di sebuah stesen radio terkemuka sebagai pembaca berita serta laporan trafik.
Menceritakan permulaan kerjayanya di radio IKIM FM, Khairi Hazwan yang mesra disapa Hazwan berkata, ia bermula secara sambilan pada tahun 2017 lagi.
"Pada Julai 2018 pula, saya menggantikan penyampai yang bercuti pada hari Sabtu dan Ahad untuk slot 6 pagi hingga 10 pagi.
"Pada awal tahun ini, alhamdulillah, saya diterima bekerja sebagai penyampai sepenuh masa untuk segman Warna Pagi di IKIM FM bergandingan bersama Mohammad Suffian," ujarnya.
Mengakui terpaksa melalui perubahan bekerja di stesen baharu dengan konsep lebih Islamik, namun Hazwan tenang menghadapinya.
"Sejak zaman sekolah menengah lagi, saya sudah mendengar IKIM FM dan tahu bagaimana konsep radio ini. Alhamdulillah, saya sendiri pun suka dengar ceramah-ceramah agama," jelasnya yang mengamalkan kurma dan sedikit manisan daripada buah-buahan sepanjang berpuasa supaya kekal bertenaga ketika di konti.
Pun begitu, Hazwan tidak lari daripada dihambat rasa bimbang setiap kali hendak menyelitkan unsur-unsur Islamik di dalam penyampaiannya lebih-lebih lagi ayat al-Quran dan hadis.
"Bukannya apa, cuma saya risau hadis itu sahih atau tidak. Kadangkala, kita juga kena buat rujukan contohnya menyemaknya di portal rasmi mufti untuk mendapatkan kepastian.
"Semua ini jauh berbeza dengan apa yang dilalui saya ketika di tempat kerja lama saya. Namun, apabila ke udara dengan ustaz dan ilmuan, saya turut menimba ilmu," ujar beliau.
Kepada satu soalan, Hazwan berkata: "Saya kekalkan cara saya. Saya tak nak kerana saya masuk IKIM, saya akan terus menjadi 'baik'. Cuma, saya hendak orang pandang IKIM tidak terlalu 'jumud' dan apa juga pandangan.
"Dulu, sebelum saya menyertai keluarga IKIM, itulah yang saya fikir kerana destinasi ini ibarat tempat untuk berwacana. Saya jadi takut. Bila saya di sini, saya cuba hendak jadikan ia sebagai santai supaya generasi-generasi seperti saya berfikiran terbuka untuk menerima perkara itu."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!