APMM tingkat kawalan sepanjang musim perayaan
JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) optimis dalam memastikan kawalan keselamatan perairan negeri ini berada dalam keadaan baik menjelang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, usaha itu juga merangkumi tahap kesiapsiagaan aset dan anggota bagi mengekang sebarang jenayah maritim termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Beliau berkata, perairan Johor juga telah mula dipantau secara ketat sejak pelaksanaan Ops Khas Pagar Laut 2/2019 yang dijalankan bermula 20 Mei hingga 14 Jun nanti.
“Selain tugas penguatkuasaan, APMM juga bersiap siaga untuk menjalankan tugas mencari dan menyelamat (SAR) jika terdapat sebarang kecemasan di laut.
“Aset APMM yang ditugaskan menjaga sempadan juga telah diarahkan untuk melakukan rondaan di laut dan berhubung dengan nelayan tempatan yang menjadi mata dan telinga kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aminuddin menambah, sebagai langkah pencegahan, pemeriksaan juga telah dijalankan terhadap bot dan feri penumpang yang beroperasi di sekitar negeri ini bagi memastikan undang-undang keselamatan yang diamalkan pengusaha feri penumpang.
“Tindakan boleh dikenakan kepada tekong-tekong yang mengabaikan aspek keselamatan dan hanya mengaut keuntungan semata-mata,” katanya.
Sebarang aduan jenayah maritim bolehlah menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Johor di talian 07-219 9404 khususnya bagi kejadian yang berlaku di perairan Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!