Iftar bersama bukan Islam

A
A
A

KETIKA Ramadan tahun lalu, saya menjalani ibadah puasa di daerah Mie, Jepun. Sebulan lamanya saya bersama masyarakat di sana mengimarahkan Ramadan. Kami bertadarus al-Quran, tazkirah, iftar, solat tarawih dan sahur. Banyak pengalaman menarik dan baharu yang saya lalui.

Salah satu yang menarik ialah iftar. Seperti kebanyakan masjid dan surau di Malaysia, Masjid Mie turut menyediakan juadah iftar percuma setiap hari. Komuniti umat Islam di situ akan bergilir-gilir memasak.

Menjelang waktu Maghrib, masjid berkenaan akan dipenuhi dengan masyarakat Muslim setempat yang hadir untuk berbuka bersama. Namun, apa yang berbeza ialah majlis iftar itu akan disertai oleh masyarakat bukan Islam. Suasana itu berlaku hampir setiap hari.

Mereka yang datang ada terdiri dalam kalangan guru-guru sekolah berdekatan, ada sesetengahnya yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat tertentu serta tidak kurang juga yang hadir secara individu.

Pihak pengurusan masjid pula menyambut dan meraikan mereka dengan layanan yang baik dan mesra. Begitu juga dengan komuniti Islam yang ada di situ. Mereka saling bertegur sapa dan menerangkan sedikit sebanyak tentang amalan berpuasa yang Islam tetapkan.

Mungkin ada yang tertanya, bolehkah orang bukan Islam turut serta iftar bersama? Jadi, mari kita lihat bagaimana Islam mengajar kita bentuk berinteraksi dengan orang bukan Islam. Prinsip asasnya seperti di dalam ayat berikut:

Firman ALLAH SWT: "ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya ALLAH hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9)

Berdasarkan ayat itu, Islam tidak melarang kita untuk berbuat baik kepada orang bukan Islam yang tidak memerangi kita.

Artikel Berkaitan:

Sifat baik

Mengajak berbuka bersama adalah salah satu sifat baik yang boleh ditonjolkan sempena Ramadan ini. Apatah lagi, orang bukan Islam tersebut ialah jiran-jiran kita, rakan satu pejabat, komuniti yang berdekatan masjid dan sebagainya.

Bahkan, menjemput mereka untuk turut bersama menyertai majlis iftar merupakan salah satu cara kita menzahirkan sikap Islam yang sentiasa mengangkat nilai harmoni dalam meraikan perbezaan agama.

Ia juga merupakan peluang dakwah yang boleh dimanfaatkan untuk kita kongsikan dengan mereka khususnya tentang ibadah puasa.

Cuma untuk meraikan kehadiran mereka, janganlah sampai kita pula menyediakan makanan atau minuman yang dilarang oleh Islam. Tidak perlu sampai ke tahap itu.

Begitu juga solat. Jangan sampai kita melengahkan atau mengabaikan solat dengan alasan mahu meraikan mereka. Tunjukkan bagaimana Islam mengajar kita menjadi muslim yang komited dengan ajaran agama.

Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan kerahmatan. Maka, mari kita zahirkan rahmat tersebut dalam bentuk hubungan baik kita dengan masyarakat bukan Islam.

Islam itu indah, maka keindahan tersebut perlu diserlahkan dengan sikap kita sebagai Muslim. Tunjukkanlah keindahan itu kepada mereka yang bukan Islam.

***Ustaz Abd Razak Muthalib merupakan Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!