Al-Quran perlu difahami, bukan sekadar dibaca
BUKIT MERTAJAM - Kitab suci al-Quran bukan sahaja untuk dibaca namun perlu difahami seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian umat Islam di dunia ini.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sekiranya seseorang itu hanya membaca al-Quran tanpa memahami, maka kitab suci itu tidak mampu untuk mengubah kehidupan.
Menurutnya, pihaknya berharap agar semua umat Islam memberi perhatian terhadap budaya membaca al-Quran dengan adanya program ilmiah seperti World #QuranHour.
"Program pada hari ini amat disokong kerana ia menunjukkan umat Islam semakin memberi perhatian kepada kitab suci Al-Quran. Dari perspektif Islam, al-Quran merupakan satu-satunya wahyu ALLAH yang masih kekal.
"Al-Quran juga sentiasa relevan dengan perkembangan zaman. Susulan itu, kita mengharapkan umat Islam memberi perhatian terhadap al-Quran dalam kehidupan seharian agar menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, Wan Salim mengiringi Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Abul Kassim menyertai World #QuranHour 2019 Peringkat Pulau Pinang yang disertai lebih 500 orang di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Bandar Perda di sini.
Dalam pada itu, Abdul Malik ketika ditemui berkata, sambutan yang diperolehi amat menggalakkan dan pihaknya akan menyemarakkan program tersebut pada masa akan datang.
"Alhamdulillah, program hari ini dilihat lebih terancang dan kita akan menyemarakkan lagi pada tahun depan. Sebenarnya kita sudah anjurkan program berasaskan al-Quran beberapa tahun lalu dan telah dijalankan selama ini.
"Tetapi bagi World #QuranHour, ini kali pertama kita adakan di peringkat negeri. Saya lihat program ini amat bagus dan ia sebagai promosi, galakan dan satu usaha pencetus agar lebih ramai membaca al-Quran," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Azmah Abdullah berkata, program ilmiah seperti ini wajar diteruskan.
"World #QuranHour wajar diteruskan seluruh dunia untuk memberi kesedaran kepada semua umat Islam betapa pentingnya membaca, memahami dan mentaddabur al-Quran," katanya.
Pesara, Norsiah Hashim, 63, berkata, World #QuranHour ini amat bagus untuk umat Islam mendalami serta mencintai al-Quran.
"Sebagai orang Islam, kita perlu ingat, membaca dan memahami al-Quran adalah bekalan yang akan dibawa selepas kita meninggal dunia kelak.
"Membaca al-Quran secara berkumpulan akan memberi lebih semangat kepada kita selain dapat mengeratkan silaturahim. Saya harap program seperti ini diteruskan," katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Permai Indah, Muhammad Adam Sofie, 15, berkata, dengan membaca Al-Quran, ia akan dapat mendekatkan diri dengan ALLAH.
"Program ini amat bagus, dapat mendekatkan diri dengan ALLAH tambahan pula di bulan Ramadan.
"Ia akan menambahkan lagi pahala kita, di samping berpuasa, kita membaca Al-Quran beramai-ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!