World #QuranHour jenama rentas budaya, negara
ALOR SETAR - World #QuranHour mampu menjadi jenama terkenal yang berjaya mempromosikan budaya membaca al-Quran di kalangan umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat, merentas budaya dan negara di peringkat antarabangsa.
Exco Agama Islam Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kejayaan hebat program yang sudah memasuki tahun keempat diadakan secara besar-besaran ini mampu menarik masyarakat Islam di seluruh dunia untuk mengalunkan ayat suci al-Quran serentak pada satu masa.
Menurutnya, pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran, para peserta program menjadi sebahagian ejen mengajak hati yang dekat dengan kitab suci itu untuk terus membaca dan menghayati mesej dalam kitab memandu kehidupan umat Islam.
"World #QuranHour berjaya mengangkat budaya tadarus al-Quran dalam masyarakat Islam di negara ini dan kesungguhan menjadikannya ia acara tahunan menggambarkan semangat untuk bersama menyebarkan syiar Islam.
"Walaupun hanya sejam yang diluangkan bagi menjayakan program berkenaan, ia tetap memberi makna kerana alunan ayat suci yang dibaca atau didengari memiliki kuasa untuk menundukkan hati yang keras," katanya semasa merasmikan Program World #QuranHour.
Peringkat Negeri Kedah di Masjid Zahir, dekat sini hari ini.
Dr Ismail berkata, program itu juga secara tidak langsung mengajak peserta untuk berinteraksi dengan al-Quran selain mampu menaikkan imej Islam dan menyuntik semangat mendalami, menghayati ajaran yang terkandung di dalamnya.
"Tahniah kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah yang menganjurkan program yang berimpak tinggi dan diinisiatifkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
"Kempen ini merupakan suatu inspirasi agar manusia mampu melonjakkan pontensi diri berlandaskan kerangka al-Quran," katanya lagi.
Seramai 250 peserta menyertai program tersebut pada tahun ini dan turut hadir Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Shahizan Affandi Zakaria.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!