Fatimah tunggu Adamdidam walaupun dalam mimpi
KOTA BHARU - Instafamous cilik, Fatimah Omar Mukhlis, 5, anak saudara kepada Chef selebriti terkenal Allahyarham Muhammad Adam Mahamed Ismail, 29, atau dikenali sebagai Adamdidam masih bersedih dan terkesan dengan pemergian bapa saudaranya.
Kakak sulung Allahyarham Dr Nor Ashmiza Mahamed Ismail, 42, berkata Fatimah adalah antara lapan anak saudara yang sangat rapat dengan Allahyarham, malah hampir setiap hari mereka akan saling berhubung melalui panggilan video.
“Memang Fatimah sudah mula memahami dan dapat menerima pemergian Muhammad Adam kira-kira seminggu lebih yang lalu, dia seolah-olah menunggu bertemu Allahyarham walaupun sekadar dalam mimpi,” katanya selepas kunjungan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan Nora Yaacob bersama Skuad Prihatin Perkeso di kediaman keluarga mereka di Telipot di sini hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, Perkeso menyerahkan Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 dan juga Pencen Penakat Perkeso secara bulanan sebanyak RM526.60 kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adam.
Nor Ashmiza berkata, Allahyarham sebenarnya sudah berjanji dengan Fatimah untuk menziarahinya di United Kingdom pada April lalu, namun hajatnya tidak kesampaian, apabila Muhammad Adam meninggal dunia 19 Mei lalu akibat jangkitan paru-paru.
“Kehilangan Muhammad Adam bagi Fatimah seolah-olah hilang bapanya sendiri.
“Hubungan mereka berdua sangat kuat, menyebabkan Fatimah yang lebih matang daripada usianya merasa kesedihan seperti orang dewasa,” kata anak sulung dari lima beradik itu.
Nor Ashmiza, juga berkata keluarganya terkilan apabila timbul berita kurang menyenangkan mengenai kematian Allahyarham, seperti yang disiarkan di sesetengah media.
Katanya, Allahyarham Muhammad Adam tidak lumpuh seperti dikatakan sesetengah pihak, malah Allahyarham mampu menyiapkan semua tugasan produksi sehingga ke akhir hayatnya.
“Saya terkilan sebab ada berita-berita tidak berapa menyenangkan, sehingga ada yang mengatakan Allahyarham hanya mampu mengerakkan jari sahaja, sedangkan dia boleh menguruskan diri sendiri termasuk mandi sendiri,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!