Polis Johor wujudkan Residensi Kelab Polis

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd melawat persekitaran Residensi Kelab Polis di IPK Johor di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd melawat persekitaran Residensi Kelab Polis di IPK Johor di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor buat julung kali menubuhkan Residensi Kelab Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sebagai usaha menyediakan persekitaran kerja lebih baik buat warganya.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, inisiatif itu bagi membolehkan anggota di IPK terutamanya dapat bekerja dalam suasana dan persekitaran lebih seronok dan kurang tekanan.

"Saya yakin dan percaya apabila mereka dapat keseronokan bekerja, anggota ini akan menterjemahkan kepada nilai perkhidmatan yang diberikan lebih berkualiti dan bermutu.

"Ini adalah langkah permulaan hasrat saya untuk semua lapisan pegawai dan anggota berada dalam keseronokan sewaktu bekerja, pada masa sama memberi nilai tambah kepada persekitaran di sini," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Residensi Kelab Polis di IPPK Johor di sini, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd menyempurnakan perasmian Bangunan Residensi Kelab Polis di IPK Johor di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd menyempurnakan perasmian Bangunan Residensi Kelab Polis di IPK Johor di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 14 bulan menjalankan kerja pengubahsuaian bangunan tinggalan kolonial British itu membabitkan anggaran kos bernilai RM120,000.

"Kerja pengubahsuaian dilakukan tanpa mengubah struktur asal selain mengekalkan ciri bangunan lama di sini.

"Polis Johor juga berhasrat dan sedang berusaha mendaftarkan bangunan lama ini yang asalnya dahulu pusat latihan polis sebagai bangunan warisan kerana kami tidak mampu menyelenggaranya berikutan kekangan bajet," katanya.

Artikel Berkaitan:

Residensi Kelab Polis itu dilengkapi dengan ruang rehat khas dilengkapi katil untuk tetamu, bilik mesyuarat, bilik dilengkapi kerusi urutan, ruangan teknologi maklumat (IT) dan perpustakaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!