Kastam tumpas sindiket seludup arak RM1.8 juta
PETALING JAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan penyeludupan 60,000 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai keseluruhan rampasan dan cukai sebanyak RM1.8 juta dalam pemeriksaan pada dua kontena di Pelabuhan Klang dekat sini, Isnin lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata nilai rampasan berkenaan dianggarkan RM188,760 manakala jumlah cukai RM1.6 juta.
Beliau berkata minuman keras itu dimasukkan ke dalam kontena dan sindiket tersebut membuat pengikraran palsu pada Borang Kastam 1 (Import) sebagai perkakasan isi rumah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Berikutan itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 55 tahun yang merupakan ejen perkapalan kontena itu ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g)(v) Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengelak duti Kastam secara penipuan dan Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kelana Jaya, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, 25.5 tan produk hasil tembakau serbuk berwarna kelabu, dry snuff dirampas yang dianggarkan berjumlah RM1.2 juta, dengan jumlah cukai RM2.1 juta dalam serbuan ke atas sebuah gudang berhampiran Seri Kembangan pada 9 Mei lepas.
"Bagaimanapun, syarikat dan pengurus lelaki warga Pakistan berumur 35 tahun telah dituduh pada 23 Mei lepas di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
"Tertuduh menggunakan modus operandi dengan membawa masuk dry snuff dari negara luar dan membuat pengikraran palsu pada borang Kastam," katanya.
Zulkurnain berkata produk hasilan tembakau tersebut dihantar ke gudang yang diserbu sebelum dijual kepada pekerja asing di sekitar Lembah Klang.
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barangan tidak berkastam dan jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!