Bomba ambil masa dua jam bersihkan tumpahan bahan kimia
ALOR GAJAH - Pakar Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa lebih dua jam untuk membersihkan tumpahan bahan kimia di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, di sini hari ini.
Terdahulu pihak berkenaan menerima panggilan kecemasan pada jam 11.34 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan seramai 15 anggota bomba dan mendapati terdapat empat tong berisi bahan kimia dipercayai terjatuh dari sebuah lori yang membawa muatan tersebut.
Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, setiba di lokasi kejadian, jalan tersebut terpaksa ditutup selepas mendapati berlaku tumpahan serbuk putih dari salah sebuah tong kimia terbabit yang dikenal pasti adalah Sodium Sulfite.
"Tumpahan bahan kimia ini berbahaya jika terkena pada kulit kerana sifatnya yang menghakis dan sekiranya terkena air, ia akan mengewap dan boleh masuk ke tubuh badan melalui pernafasan.
"Selain itu tiga lagi tong masing-masing berisi bahan kimia Poly Arcyclic Acid Sodium Salt, Sodium Bikarbonat (Baking Soda) dan Bicine Sodium Salt turut ditemui namun tidak tumpah serta masih tersimpan di dalam bekas berkenaan," katanya.
Tambahnya, pihaknya mengambil masa lebih dua jam untuk membersihkan tumpahan bahan kimia di atas jalan raya termasuk dengan mengumpulkan dan melarutkan bahan berkenaan sehingga menjadi neutral iaitu pH7 sebelum operasi tamat pada jam 2.05 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!