Syed Saddiq sahut cabaran lawan pasukan bola TMJ

TMJ dan Syed Saddiq
TMJ dan Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyahut cabaran untuk beradu kehebatan dalam aksi perlawanan bola sepak menentang pasukan pilihan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Syed Saddiq mengesahkan pihaknya akan mengutus surat kepada Tunku Ismail untuk mengatur perlawanan itu yang dijangka berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Ketua Armada Bersatu itu berkata, perlawanan persahabatan itu diharap dapat menjadi jambatan untuk mengeratkan silaturahim antara dua pasukan yang terlibat.

"Saya akan utuskan surat kepada TMJ. Ini merupakan perlawanan persahabatan untuk mengeratkan silaturahim dan memastikan bahawa sukan dijadikan jambatan untuk menyatupadukan semua.

"Saya agak yakin itu merupakan fungsi utama sukan. Untuk kita kekal sihat dan pada masa sama untuk kita sentiasa mengeratkan silaturahim," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis sumbangan Jakel Raya kepada asnaf di Jakel Mall di sini, hari ini.

Tunku Ismail sebelum ini menyatakan kesediaan baginda untuk mengatur perlawanan persahabatan bersama pasukan Syed Saddiq setelah dicadangkan beberapa pengguna media sosial.

Baginda menyatakan kesediaan itu menerusi satu kicauan balas kepada pemilik akaun @vijhayvick yang membangkitkan persoalan bagaimana pertembungan pasukan TMJ bertemu dengan pasukan Syed Saddiq.

"Cabaran diterima, Larkin (Stadium Tan Sri Hassan Yunos) akan dibuka untuk menentang pasukan 'Picasso'. Pertembungan seperti 'gladiator' ini mesti berlangsung.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa, perlawanan ini perlu diadakan segera atau kita tunggu pasukan Man City (Manchester City) beli sebuah kelab Malaysia dahulu?" katanya.

Menyokong sahutan itu, pengikut akaun Twitter baginda turut memuatnaik video yang memaparkan kompilasi perlawanan bola sepak pasukannya dan Syed Saddiq.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!