Sidang Kemuncak OIC jadi tumpuan negara Islam

Dr Yousef Ahmed Al-Othaimeen
Dr Yousef Ahmed Al-Othaimeen
A
A
A

MAKKAH - Makkah kini menjadi tumpuan apabila Kota Suci Islam itu menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Islam ke-14 (Sidang Kemuncak OIC), dengan objektif utama untuk menggalakkan lagi perpaduan di antara negara Islam.

Para penganalisis kini ternanti-nanti apakah hasil sidang kemuncak itu, di tengah-tengah pelbagai insiden tercetus di rantau berkenaan, seperti isu Palestin.

Perkara penting lain yang menuntut penyelesaian jitu termasuk peningkatan serangan puak Houthi terhadap fasiliti awam di Arab Saudi dan fenomena Islamofobia yang kian berleluasa.

Mereka berharap sidang kemuncak itu akan menghasilkan keputusan konkrit bagi membantu menyelesaikan krisis dan negara Islam menyokong visi Saudi untuk mempromosikan solidariti serta menjaga kepentingan Ummah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Dr Yousef Ahmed Al-Othaimeen berkata usaha perlu ditingkatkan bagi menangani kebimbangan yang melingkari dunia Islam.

"Dalam hal ini, peranan utama Arab Saudi dalam usaha kolektif ini adalah untuk menyelesaikan masalah dan krisis yang kita hadapi, InsyaAllah ia boleh membuahkan hasil positif," katanya kepada agensi berita Universal (UNA) berpangkalan di Jeddah.

Beliau percaya usaha Penjaga Dua Kota Suci Islam Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri Putera Mohammed bin Salman akan menyatukan kembali masyarakat Islam.

Malah, Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman terus memainkan peranan penting di peringkat serantau juga global.

Artikel Berkaitan:

Sejak Mei 2015 hingga Mac tahun ini, pusat itu telah menyalurkan bantuan berjumlah 12.21 bilion riyal Saudi (US$ 3.25 bilion) - kepada 44 negara di seluruh dunia.

Melibatkan 996 projek dalam sektor perlindungan, keselamatan makanan, kesihatan, pendidikan, air, sanitasi, pemakanan dan sokongan masyarakat.

Sementara itu, Sidang Kemuncak yang berlangsung pada Jumaat di bawah naungan Raja Salman, adalah edisi keempat.

Sebelum ini, ia dianjurkan pada 1981, 2005 dan 2012. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!