Agong akan teruskan legasi ayahanda

Al-Sultan Abdullah menyampaikan sumbangan kepada penerima golongan asnaf di Masjid Sultan Ahmad Shah 1, di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah menyampaikan sumbangan kepada penerima golongan asnaf di Masjid Sultan Ahmad Shah 1, di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah akan meneruskan legasi peninggalan Almarhum Paduka Ayahanda yang gemar turut padang berjumpa dengan rakyat di negeri ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, biarpun memikul amanah sebagai Yang di-Pertuan Agong namun rakyat negeri ini sentiasa dekat di hati baginda.

Baginda amat teruja diberi peluang bersama rakyat dalam majlis berbuka puasa dan pengurniaan sumbangan kepada golongan memerlukan yang cukup besar ertinya buat diri baginda.

"Majlis seperti ini merupakan amalan dalam keluarga saya sejak bertahun lamanya yang telah diterapkan oleh Almarhum Paduka Ayahanda. Ia menjadi prinsip mengukuhkan silaturahim antara pemerintah dan rakyat.

"Ini akan merapatkan lagi hubungan antara raja dan rakyat sesuai dengan slogan yang menjadi landasan pemerintahan Almarhum Paduka Ayahanda iaitu 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.'

"Justeru, saya akan meneruskan legasi peninggalan Almarhum Paduka Ayahanda saya...Bagaimana bertautnya aur dengan tebing, begitulah eratnya hubungan saya dengan rakyat," titah baginda pada majlis berkenaan di Masjid Sultan Ahmad Shah 1, di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM9.4 juta.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, zakat perniagaan merupakan satu tanggungjawab yang wajib ditunaikan kepada mereka yang telah memenuhi syarat yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini dibuktikan melalui al-Quran dalan Surah Al-Baqarah ayat ke-267 yang bermaksud: 'Wahai orang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu'.

"Hikmah berzakat ini untuk mengurangkan golongan fakir dan miskin di samping merapatkan lagi jurang perbezaan antara golongan berada dengan mereka yang kurang bernasib baik," titah baginda lagi.

Sementara itu, bersempena dengan kedatangan bulan Syawal tidak lama lagi, baginda berpesan agar rakyat di negara ini berbelanja dengan berhemah bagi mengelakkan pembaziran.

"Kepada yang memandu pulang ke kampung halaman, memandulah dengan cermat dan sentiasa mematuhi undang-undang.

"Saya dan Raja Permaisuri Agong berdoa agar sekalian rakyat dapat menyambut hari raya tahun ini dengan penuh keriangan dan selamat sampai ke destinasi yang ingin dituju," titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!