Pegawai operasi PTPTN tiada keperluan tekan butang ‘panik’

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah tunggakan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM40 bilion tidak menjejaskan operasi agensi itu meneruskan memberi pinjaman kepada pelajar.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata beliau yakin pegawai yang bertanggungjawab menguruskan pentadbiran dan operasi PTPTN berpengalaman dan tiada keperluan untuk menekan butang ‘panik’.

“Setakat ini tidak terjejas. Saya yakin pegawai kita berpengalaman dalam menguruskan pentadbiran PTPTN. Setakat ini Alhamdulillah semua berjalan dengan baik.

Sekiranya kita tidak melakukan tindakan yang signifikan dari sekarang maka jumlah hutang itu akan meningkat. Jadi ia akan menjadi bebanan yang amat berat kepada negara,” katanya selepas majlis berbuka puasa PTPTN bersama media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Katanya tiada keperluan untuk PTPTN menangguhkan pemberian pinjaman kepada pelajar kerana agensi itu masih mengekalkan model sama digunakan ketika kerajaan terdahulu iaitu model pinjam untuk memberi pinjaman.

“Saya rasa tiada keperluan untuk kita panik..sebab realitinya kita boleh beri pinjaman. Kita cuma perlu pastikan peningkatan (kutipan hutang) berlaku supaya bilangan yang kita bagi pinjaman itu kekal dalam sekitar 180,000 - 200,000 peminjam dalam setahun,” katanya.

Dalam pada itu Wan Saiful menyeru rakyat Malaysia sepatutnya menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai pilihan utama untuk membuat simpanan untuk masa depan anak-anak.

Beliau berkata fokus PTPTN adalah untuk memastikan graduan pada masa hadapan hanya mempunyai hutang pendidikan yang minimum berikutan penabungan yang dilakukan dengan lebih awal. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!