PDRM tunggu bentuk IPCMC dimuktamadkan
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata beliau akan memastikan hak-hak kebajikan warga polis diberi perhatian apabila Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dimuktamadkan,
Beliau berkata kebajikan anggota polis yang rata-rata berpendapatan sederhana perlu diberi perhatian setimpal dengan pengorbanan pasukan keselamatan itu.
“Kami warga PDRM (Polis Diraja Malaysia) menunggu bentuk IPCMC ini dimuktamadkan dan selepas itu tanggungjawab saya adalah menyakinkan anak-anak buah saya dan apabila IPCMC diluluskan, saya akan pastikan PDRM akan mendapat hak-hak kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat tapak Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini. Turur hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ruslan Khalid.
“Sejak sebulan dan seminggu yang lepas, saya meninjau sendiri keadaan kuarters-kuarters balai polis antaranya di TTDI dan ada antaranya mempunyai atap yang rosak dan pecah.
“Saya sedih melihat keadaan ini apabila anggota saya terpaksa berbumbungkan atap bocor dan mereka ini berpendapatan sederhana. Saya akan perjuangkan hak mereka,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa penubuhan IPCMC akan diteruskan selepas mendapat persetujuan daripada PDRM.
Perkara itu dicapai melalui perbincangan antara Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan 20 wakil jabatan PDRM dan persatuan polis di Perdana Putra, Putrjajaya pada 10 Mei lalu.
Ketua Pengarah GIACC Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata kertas Kabinet berhubung penubuhan IPCMC dijangka dapat dikemukakan selepas Aidilfitri.
IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis manakala Ombudsman Malaysia menguruskan aduan terhadap isu berkaitan jentera kerajaan. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!